Kumpulan al-Qaeda siar video 6 tahanan asing

0
43


BAMAKO: Cawangan al-Qaeda di Mali menyiarkan rakaman video memaparkan enam tahanan warga asing, termasuk pakar bedah Australia, Arthur Kenneth Elliott, dan warga Perancis, Sophie Petronin.

Kumpulan pemantau yang berpangkalan di Amerika Syarikat, SITE, menyatakan video 16 minit dan 50 saat oleh Nusrat al-Islam wal Muslimeen itu dimuat naik di media sosial Telegram.

Menurut SITE, empat lagi tahanan yang dipaparkan dalam video itu ialah Stephen McGown dari Afrika Selatan, Iulian Ghergut (Romania), Beatrice Stockly (mubaligh dari Switzerland) dan Gloria Cecilia Narvaez Argoti (rahib dari Colombia).

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam insiden penculikan Petronin pada akhir 2016 oleh lelaki bersenjata di bandar Gao di utara Mali.

Menurut SITE, sejurus klip video memaparkan Petronin dimuat naik, pengulas wanita itu berkata Presiden Perancis akan membantu membawa mangsa pulang bertemu dengan keluarga.

Rakaman video itu disiarkan sebelum Presiden Emmanuel Macron tiba di Mali hari ini, bagi menyatakan sokongan Barat terhadap usaha membanteras militan di rantau berkenaan.

Dalam rakaman itu, setiap tahanan ditemubual secara berasingan oleh pengulas yang mendedahkan bahawa sehingga kini tiada rundingan dibuat bagi pembebasan mereka.

Pada akhir rakaman video yang tidak bertarikh itu, walaupun tidak menyatakan sebarang tuntutan, pengulas memberitahu semua keluarga tahanan bahawa rundingan rasmi belum bermula bagi membebaskan mereka, tetapi ia sentiasa berterusan. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here