Kurang, hapus bayaran faedah kad kredit tidak bermanfaat

0
133
Advertisement

KUALA LUMPUR:

Pengurangan atau penghapusan bayaran faedah yang dikenakan ke atas kad kredit seperti yang dilaksanakan United Kingdom (UK) ketika ini tidak membawa manfaat kepada ekonomi negara.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata ia dilihat akan menggalakkan tabiat perbelanjaan tidak berhemat dan kurang disiplin dalam kalangan pemegang kad kredit.

 

“Peraturan yang dilaksanakan di UK tidak perlu dilaksanakan di Malaysia kerana pelbagai langkah pencegahan telah pun diambil sejak tahun 2006 oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

“Ia termasuk mengelakkan pengguna kad kredit daripada menanggung hutang secara berterusan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang bertanyakan sama ada Kerajaan mempunyai perancangan bersama BNM dan industri perbankan di Malaysia dalam menghapuskan bayaran faedah di atas penggunaan kad kredit seperti yang dilaksanakan di UK. 

 

Tambahnya, antara langkah-langkah lain yang diambil adalah pengeluar kad kredit harus memastikan hanya individu yang layak dan berkemampuan diberikan kemudahan kad kredit.

 

Ini merangkumi keperluan pendapatan minimum setahun, had bilangan kad kredit yang boleh dimiliki oleh pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 atau kurang setahun, had maksimum kredit, larangan menawarkan kad kredit pra-kelulusan serta mekanisme bagi menangani masalah kewangan dengan cepat.

 

Sehingga kini, terdapat 3.7 juta pemegang kad kredit dengan 9.9 juta keping kad kredit digunakan di seluruh negara. 


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here