KWSP beri projek di Kwasa Damansara kepada TSR Capital

0
61
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kwasa Land Sdn Bhd memberikan projek pembangunan hartanah kediaman mewah di Kwasa Damansara, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (NPK) RM295 juta, kepada TSR Capital Bhd.

Kwasa Land yang merupakan pemaju utama Kwasa Damansara, berkata anak syarikat milik penuhnya, Kwasa Development (3) Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian dengan TSR Development Sdn Bhd yang dimilik sepenuhnya oleh TSR Capital, bagi pembinaan unit kediaman di kawasan seluas 2.64 hektar atau Plot R3-3.

Projek yang dijangka siap pada 2024, mengandungi 260 unit kediaman mewah, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kwasa Land, perjanjian itu antara lainnya menetapkan TSR Capital membuat pembayaran sebanyak RM58.94 juta kepada syarikat itu bagi hak pembangunan dan perkongsian hasil.

Kwasa Damansara terletak di atas tanah milik Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh, sebelum ini.

Ia merupakan pembangunan seluas 943.7 hektar yang turut dirancang sebagai perbandaran bersepadu bercirikan hijau, inklusif serta mampan sebagai antara tarikan utamanya.

“Plot R3-3 mempunyai laluan hijau ke salah satu taman terbesar seluas kira-kira 17 hektar di Kwasa Damansara selain tasik seluas 5.5 hektar.

“Taman itu terletak di bahagian barat laut pusat bandar baharu terbabit dengan kemudahan dua stesen Transit Aliran Massa (MRT) dalam lingkungan dua kilometer,” kata Kwasa Land. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here