Lacazette yakin bersama The Gunners

0
38
Advertisement



PENYERANG Arsenal, Alexandre Lacazette menolak kritikan mengenai musim sulungnya dalam Liga Perdana dengan mengatakan dia sudah banyak belajar daripada musim lalu dan bertekad untuk memperbaiki jumlah jaringannya.

Pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Arsenal dengan rekod perpindahan kelab tahun lalu dan melalui musim yang sukar, menjaringkan 17 gol dalam 39 penampilan untuk semua kejohanan, hingga mencetuskan kritikan daripada pengkritik dan peminat.

“Saya tidak kisah bagaimana orang mengadili saya,” kata Lacazette kepada Football London. “Saya tahu jika saya kekal di Arsenal kelab akan gembira begitu juga rakan sepasukan. Ini perkara paling penting.

“Ia (musim lalu) sudah tamat dan bagi saya sudah berlalu. OK, apabila saya tidak menjaringkan gol, sudah tentu saya kecewa tetapi ia sudah berakhir. Ia musim pertama saya jadi saya tidak boleh terlalu menekan diri, walaupun saya mahu menjaringkan lebih banyak gol.

“Saya sudah belajar daripada ini dan saya gembira memulakan musim baharu.”

Arsenal membeli Pierre-Emerick Aubameyang dari Borussia Dortmund pada Januari dengan ramai melihat ia sebagai kesan persembahan buruk Lacazette, tetapi pemain berusia 27 tahun itu menafikannya sambil menegaskan tiada saingan dengan rakan penyerang itu.

“Saya tidak pernah berkata (kehadiran Aubameyang) adalah sesuatu yang buruk buat saya, hanya akhbar yang menyatakan ia buruk,” kata Lacazette. “Saya gembira kerana saya tahu saya boleh bermain dengannya.

“Saya tidak melihatnya sebagai pencabar, lebih kepada rakan sepasukan, jadi sejak mula saya gembira dia ke sini.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here