Lagi foto menunjukkan Yingluck di London

0
85
Advertisement

BANGKOK: Polis Thailand akan menghubungi rakan sejawat mereka di United Kingdom bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung lokasi bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berikutan terdapat satu lagi foto menunjukkan bekas perdana menteri itu berada di London baru-baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Srivara Rangsibrahmanakul berkata polis akan mendapatkan lebih banyak maklumat menerusi kerjasamanya dengan Interpol untuk menentukan sama ada Yingluck berada di London.

“Polis  juga akan menghubungi wanita yang dirakam gambarnya bersama-sama Yingluck di dalam foto  terbaru itu,” katanya kepada pemberita berhubung foto Yingluck bersama-sama seorang wanita tidak dikenali yang dipaparkan di akaun Twitter dan Facebook beberapa individu tertentu.

Foto itu mengandungi kapsyen menyatakan gambar itu dirakamkan di luar gedung beli-belah mewah Harrods di bandar raya itu.

Lokasi Yingluck ketika ini masih menjadi misteri selepas beliau melarikan diri dari negara itu pada penghujung Ogos tahun lepas, sejurus sebelum Mahkamah Agung membuat keputusan penting berhubung kes kecuaiannya berkaitan kes skim pengagihan beras semasa di bawah pentadbirannya.

Kerajaan menyalahkan Yingluck berhubung kecuaian berkaitan skim itu menyatakan ia telah menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion dollar menerusi rasuah.

Berikutan ketidakhadirannya di mahkamah, Mahkamah Agung menangguhkan keputusannya tetapi pada September menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas perdana menteri itu.

Sejak beliau menghilangkan diri, laporan media membuat spekulasi bahawa Yingluck berada di Dubai berikutan abangnya  bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, memiliki rumah di situ atau di London dengan beliau dikatakan memohon suaka politik.

Yingluck, pemimpin Parti Pheu Thai tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan umum sejak meninggalkan Thailand.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here