Lagu baharu Siti juara carta iTunes

0
47


KUALA LUMPUR: Baru semalam single terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Segala Perasaan, dilancarkan, ia sudah menjadi ‘trending’ dan memanjat ke kedudukan pertama carta iTunes Malaysia.

Lagu ciptaan Ivan Lahardika itu dipertaruhkan sebagai single sulung album studio ke-16 beliau berjudul SimetriSiti yang akan dilancarkan pada 5 Mei depan.

Penyanyi itu mengakui cukup teruja dengan sambutan awal diberikan peminat terhadap single terbabit yang boleh ditempah awal menerusi beberapa platform digital termasuk iTunes dan Spotify.

“Alhamdulillah, Siti gembira dengan permulaan yang memberangsangkan oleh single pertama ini. Bukan hanya peminat yang teruja dengan kehadiran album ini nanti, Siti juga berperasaan sama.

“Apabila Segala Perasaan dilancarkan malam tadi dan mendapat permintaan yang baik sehingga menjadi ‘trending’, ia terus membakar semangat Siti. Harapnya, album penuh nanti juga akan mencatatkan jualan yang baik.

“Siti berharap peminat akan terus menghargai karya Siti dan penggiat seni lain dengan membeli album SimetriSiti menerusi semua platform muzik yang betul,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi itu turut berpesan agar peminat tidak sesekali memuat turun lagu atau albumnya secara haram.

“Jika peminat dan semua pencinta muzik menghargai kerja keras seni, maka belilah yang asli,” katanya.

Lagu Segala Perasaan mengangkat makna cinta yang sangat luas dan melodinya mudah diterima oleh penggemar muzik. Ivan sendiri menceritakan, lirik lagu ini bersatu dengan melodinya dan segala keindahan perasaan disampaikan menerusi karya terbabit.

Lagu berkenaan diterbitkan Mujahid Abd Wahab, manakala Aubrey Suwito pula bertindak sebagai penerbit untuk rakaman vokal penyanyi bersuara hebat itu.

“Lagu ini benar-benar menguji vokal Siti kerana ia mempunyai nada rendah dan tinggi. Ia turut menuntut Siti menjiwai lirik dalam nyanyian,” katanya.

Album terbaru Siti adalah produk kerjasama Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd dengan Universal Music Malaysia.

Sementara itu, Siti akan muncul mengacarakan program, Inspirasi Takwa Datuk Siti Nurhaliza, sebanyak empat episod terbitan Global Station Sdn Bhd, yang akan memulakan siarannya pada 31 Mei ini menerusi Astro Oasis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here