Lagu kandas: 'Saya tak ada niat pertikai tugas juri' – Ayda Jebat

0
16
SELEPAS wujudnya dakwaan yang mengatakan penyanyi Ayda Jebat ‘sentap’ kerana lagu nyanyiannya, Mata, tidak tersenarai untuk bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-32, penyanyi itu tampil memberikan penjelasan.

Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 25, menjelaskan yang dirinya tidak berniat untuk mempertikaikan tugas juri.

“Saya tidak mempunyai sebarang niat untuk mempertikaikan kerja atau tugas juri. Malah saya menghormati keputusan mereka. Saya cuma mahu bertanya untuk kebaikan diri sendiri. 

“Saya mahu bertanya kekurangan dan kesilapan saya. Sudah tiga kali saya kandas di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik, jadi saya mahu tahu apa sebabnya agar saya tidak mengulangi kesilapan saya di masa akan datang,” katanya lagi.

Tambah Ayda, penting untuk dirinya mengetahui sebab tersebut agar dia dapat memperbaiki kelemahan sendiri.

“Saya bertanya mengenai markah saya sahaja, bukannya markah peserta-peserta lain. Saya mahu melihat kesilapan sendiri untuk penambahbaikan.

“Saya mahu melakukan yang terbaik di masa akan datang dan tidak mahu mengecewakan peminat saya. Mereka ibarat nadi penggerak saya dalam industri hiburan. Sudah pasti saya mahu membuat mereka rasa bangga,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Pencuri Hati ini bakal muncul dengan filem Pinjamkan Hatiku yang bakal ditayangkan di pawagam 30 November ini.

Filem arahan Osman Ali sedang giat menjalani sesi promosi dan menggandingkan Ayda bersama dua aktor hebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @aydajebat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here