Lagu khas buat Palestin, umat Islam ditindas

0
76


KUMPULAN Klaut.

KUALA LUMPUR: Terkesan menyaksikan bumi Palestin semakin lara bersama isu kemanusiaan tidak berkesudahan membuatkan kumpulan baharu, Klaut, tampil bersama lagu Kemenangan Untukmu.

Bernaung di bawah label AJ Music Malaysia, Klaut yang dianggotai Fikri Rafezin dan Zal Azman sememangnya fokus kepada penghasilan lagu berunsur kemanusiaan dan dakwah.

Zal yang mencipta lagu terbabit bersama Zara Alhaj, berkata karya berkenaan menjadi ‘suara’ mereka dalam membantu umat Islam yang ditindas di serata dunia, terutama di Palestin.

“Saya mahu umat manusia sedar, Palestin semakin lenyap daripada peta dunia, begitu juga dengan rakyatnya.

“Sebagai rakan seagama, kita tidak boleh membiarkan hal itu berlaku kerana Palestin ialah tempat suci umat Islam. Lebih-lebih lagi di situ tempat berlaku peristiwa penting bagi umat Islam, Isra’ Mikraj,” katanya menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada BH Online.

Sementara itu, Klaut berharap mesej lagu yang disampaikan diterima baik oleh peminat muzik tempatan kerana ia bukan saja ditujukan buat rakyat Palestin, tetapi seluruh umat Islam yang tertindas.

“Kemenangan Untukmu juga lagu berkaitan cinta kepada sesama umat manusia. Lagu ini juga adalah doa dan janji Allah, Islam akan mencapai kemenangan di bumi-Nya,” ujar Zal lagi.

Kemenangan Untukmu bukanlah lagu pertama ciptaan Zal dan Zara, sebaliknya mereka berpengalaman selama enam tahun di bidang penciptaan dan hanya mula serius di arus perdana sejak tiga tahun lalu.

Sebelum merakamkan single pertama itu, Klaut sering menjayakan persembahan pada majlis tertutup dengan membawakan lagu berunsur ketuhanan, kemanusiaan dan balada cinta semasa.

Video lirik lagu Kemenangan Untukmu kini dapat ditonton di laman YouTube AJ Music dan ia juga boleh dimuat turun di aplikasi iTunes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here