Lakaran Pak Azam jadi harapan pelarian, mangsa bencana

0
125
Advertisement
COX’S BAZAR: Pak Azam dengan tenang membelek helaian demi helaian buku lakaran di tangannya.

Dakwat hitam yang dicantum, menjadi garis-garis, seterusnya membentuk satu bayangan pelan bangunan.

“Ini ruang pemeriksaan doktor. Ini pula ruang pendaftaran pesakit. Di sini pula ruang bilik bersalin,” Pak Azam menjelaskan satu demi satu fungsi setiap bilik yang ada dalam lakaran bangunan itu sambil diikuti ekor mata penulis.

Perbualan kami kemudiannya disertai dua orang staf badan bukan kerajaan (NGO) Bangladesh yang menjalin kerjasama rapat dengan majikan Pak Azam, iaitu MERCY Malaysia.

Pak Azam kemudiannya menerangkan setiap butiran lakaran pusat kesihatan tersebut dan bagaimana ia dapat membantu lebih 30,000 pelarian Rohingya di Kem Pelarian Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh.

 

Pak Azam atau nama penuhnya Norazam Ab Samah merupakan seorang arkitek yang sangat berpengalaman merekabentuk bangunan dalam misi kemanusian.

Sejak menyertai MERCY Malaysia 17 tahun lalu, sudah banyak pusat kesihatan dan penempatan yang telah dibina Pak Azam menerusi lakarannya.

Pada tahun 2000, ketika Pak Azam menyertai misi kemanusiaan di Afghanistan, beliau telah membantu MERCY Malaysia untuk membina klinik statik di negara tersebut dengan menggunakan kontena.

Beliau juga pernah ke Sri Lanka untuk misi kemanusiaan yang seterusnya memandangkan negara itu dilanda banjir yang sangat teruk.

Pak Azam menerangkan lakaran sebuah pusat kesihatan yang akan di bina di Kem Pelarian Rohingya di Kutupalong, Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto Astro AWANI /MARIAH AHMAD

“Keperluan asas yang diperlukan penduduk tempatan ketika itu adalah sekolah, memandangkan sekolah di situ telah roboh akibat ditolak kayu-kayu dan serpihan-serpihan bangunan ketika banjir,” tambah Pak Azam.

Bagi misi itu, MERCY Malaysia telah membina sebuah sekolah baru dengan 20 buah rumah untuk mangsa.

“Itu detik permulaan saya, menyumbangkan kepakaran sebagai seorang arkitek.

“Saya suka memainkan peranan saya sebagai seorang arkitek dalam merancang dan merekabentuk keperluan asas bagi mangsa bencana atau mangsa konflik dalam misi kemanusiaan,” kata Pak Azam.

Helaian demi helaian kertas dilukis Pak Azam, melakar satu harapan buat mangsa-mangsa yang hilang tempat berteduh mereka.

Selesai satu misi, Pak Azam sentiasa bersedia menabur bakti ke misi yang seterusnya.

Bencana dan bantuan

Di mana-mana negara pun di dunia ini, menjadi mangsa tragedi memang bukan satu pilihan.

Pastinya hati sesiapa saja akan menjadi sayu apabila melihat rumah yang didiami selama ini roboh dan musnah dek kuasa bencana atau senjata manusia.

Keluhan dan trauma seperti itu seolah-olah ‘didengari’ Pak Azam, yang hadir memberi harapan kepada mangsa-mangsa tersebut.

Pak Azam (kiri) bersama staf NGO Bangladesh, membincangkan mengenai pembinaan sebuah pusat kesihatan di sini untuk keperluan pelarian Rohingya. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Mengimbas antara rekod jasa baktinya, sebuah pusat kesihatan empat tingkat telah dibina oleh Pak Azam dan pasukannya susulan gempa bumi di Iran pada tahun 2003.

Tidak berjarak lama, Pak Azam ke Acheh pula setahun kemudian selepas tragedi Tsunami Lautan Hindi  yang mengorbankan 230,000 nyawa.

Di kem penempatan sementara mangsa tsunami, beliau dan pasukan kerjanya membentuk sendiri 250 khemah, membina 232 rumah kekal selain memastikan keperluan mangsa seperti elektrik, tangki air dan tandas mencukupi.

Beliau turut menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat tahun di situ, bagi membantu membangunkan sebuah sekolah, akademi perawat, akademi farmasi selain membina empat rumah anak yatim serta tiga pusat kesihatan masyarakat.

Beberapa tahun kemudian, taufan Nargis pula melanda Myanmar.

Dalam misi tersebut, Pak Azam telah membina 14 bangunan yang direka mengikut keperluan setempat termasuk hospital, pusat kesihatan pendalaman, klinik dan pusat perkhidmatan masyarakat.

Pak Azam ketika mengagihkan bantuan kepada pelarian Rohingya di Balukhali, Cox's Bazar, Bangladesh. -  Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Panggilan Rohingya

Kali ini Pak Azam berada di Bangladesh, bagi membantu pelarian Rohingya di sini.

Menurut Pak Azam, dua pusat kesihatan akan dibina di kem pelarian Rohingya di Ukhia, iaitu sebuah mukim yang terletak dalam daerah Cox’s Bazar.

Selain pusat kesihatan tersebut, MERCY Malaysia turut membina tandas yang bersih dan juga telaga tiub bagi keperluan harian pelarian di situ.

“Pusat kesihatan ini akan dilengkapi dengan kemudahan perbidanan dan ia melibatkan kos pembinaan sebanyak RM100,000.

“Ini adalah keperluan mendesak bagi pelarian di sini terutama bagi wanita yang mahu bersalin,” tambah beliau yang menganggarkan proses pembinaan tersebut akan mengambil masa 20 hari untuk siap.

Begitulah antara khidmat yang telah dan sedang Pak Azam usahakan sepanjang lebih 17 tahun menghabiskan usianya bersama mangsa-mangsa pelarian dan bencana.

Diharapkan, bangunan-bangunan yang dilakar sendiri oleh anak tempatan seperti Pak Azam dapat mengurangkan beban dan memudahkan kehidupan mangsa-mangsa yang amat memerlukan.

Segala usaha yang dilakukan oleh Pak Azam dan pasukannya wajar menjadi inspirasi kepada ramai lagi sukarelawan di mana-mana sahaja.

Semua itu sepatutnya mengajar sesuatu kepada komuniti sukarelawan serantau dan global, iaitu jika tiada sengsara dan bencana, erti kemanusiaan itu sendiri tidak akan teruji.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here