Lapan kenderaan rosak dihempap pokok akibat hujan ribut di Ipoh

0
251
Advertisement



IPOH: Lapan kenderaan termasuk enam kereta rosak dihempap pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang di dua lokasi di sini petang ini.

Dalam insiden pertama di kawasan tempat letak kereta di belakang sebuah hotel di Jalan Sultan Idris Shah, lima kereta dan dua motosikal dihempap dua pokok besar yang tumbang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Mahdis berkata lima kereta yang terlibat adalah jenis Lexus, Perodua Myvi, Proton Saga, Proton Waja dan Honda.

“Bomba menerima panggilan pada pukul 4.10 petang dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong dua pokok sepanjang 10 meter yang menimpa kenderaan terbabit dengan menggunakan gergaji berantai dan parang. Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yahya berkata pokok itu turut menimpa tiang elektrik dan pihaknya telah meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad untuk mengalihkan pokok tersebut.

Sementara itu, Yahya berkata pihaknya turut menerima satu lagi panggilan pada pukul 5.16 petang di mana sebuah kereta jenis Toyota Camry dihempap sebatang pokok besar di Jalan C.M Yusoff.

“Akar pokok itu turut merosakkan bahagian belakang sebuah kedai kopi. Seramai tujuh anggota bomba komuniti Pekan Baru dengan bantuan anggota MBI (Majlis Bandaraya Ipoh) melakukan kerja pembersihan,” katanya.

Menurut Yahya, terdapat dua lagi lokasi pokok tumbang dan merintangi jalan iaitu di hadapan Hotel Seri Malaysia serta Hotel Impiana di sini dan ketika ini anggota bomba dan MBI sedang melakukan pembersihan.

Dalam pada itu, seorang pekerja tempat letak kereta di Jalan Sultan Idris Shah, Jennifer Abraham, 27, berkata beliau menyedari hujan lebat serta angin kencang sejak pukul 2.30 petang tadi.

“Angin memang kuat sangat dan saya dengar bunyi seakan bom, rupanya pokok tumbang…ketika terdengar bunyi kuat itu saya berasa takut dan terus lari ke hadapan hotel,” katanya. –BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here