Lapan ketua bahagian PPBM di Perak keluar parti bersama 1,000 pengikut

0
58



IPOH: Selepas seminggu menunggu kata putus daripada pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ketua Penaja Bahagian Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar mengumumkan meletakkan jawatan dan keluar parti serta-merta.

Semasa mengumumkan demikian, Azrul Suhadi berkata, keputusan beliau itu turut diikuti oleh lapan ketua bahagian yang lain dan kira-kira 1,000 ahli parti PPBM negeri Perak.

Katanya, beliau dan rakan-rakan yang merupakan penggerak awal PPBM di Perak mengambil keputusan itu kerana amat kecewa dengan Presiden parti itu yang kabur hala tujuannya dan mungkir janji untuk bertanding menentang Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu lebih prihatin dan menjalankan amanah dengan profesional dan jangan terlalu sombong atau ego dengan selalu menggunakan ayat, ‘Ini kuasa saya’,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini pada petang Jumaat.

Sementara itu, Ketua Penyelaras PBBM Bahagian Pasir Salak, Mohamad Hasan berkata sebagai antara ahli terawal menyertai parti itu beliau berasa amat kesal dengan struktur kepimpinan yang seperti tidak mengendahkan kebajikan ahli akar umbi.

Sehubungan dengan itu, beliau dan rakan-rakannya mengingatkan para pemimpin PPBM agar sentiasa bermuhasabah dan tidak menuding jari kepada pihak lain atas kepincangan dan masalah dalaman yang berlaku di dalam parti itu sejak kebelakangan ini.

“Ia seolah-olah peribahasa orang tua-tua dahulu, seperti ketam mengajar anak berjalan; dia menyuruh kami mempunyai martabat dan maruah tetapi dia sendiri tidak ada semua itu, ini apa cerita?” katanya lagi.

Minggu lalu, Exco Srikandi PPBM, Zulaiha Sidiq mengumumkan perletakan jawatan dalam dengan serta merta kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu di peringkat negeri dan pusat.

Tindakan beliau diikuti oleh Ketua Srikandi Penaja Gopeng, Aflatuniah Md Norani yang turut mengumum melepaskan jawatan yang disandangnya.

Kedua-dua mereka mendakwa sudah ‘muak’ dan hilang minat dengan kemelut yang berlaku dalam parti itu pada ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here