Lasak di hutan, panas di kota

0
239
Advertisement



Sebut saja Ducati, ramai terbayang jentera dua roda berwarna merah menyala dan ngauman ekzos mengasyikan telinga.

Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh pengedar sah Ducati di Malaysia, Next Bike Sdn Bhd untuk menunggang uji model dwikegunaan, Multistrada 950.

Sekilas pandang, jentera ini seakan-akan tiada beza dengan abangnya, Multistrada 1200 apabila dilihat pada mata kasar memiliki ciri fizikal hampir sama.

Tetapi sebenarnya kedua-dua model ini memiliki perbezaan ketara dan dapat dilihat pada lengan ayun belakang apabila Multistrada 950 menggunakan lengan ayun kembar seperti Multistrada Enduro manakala Multistrada 1200 menggunakan lengan ayun tunggal atau sebelah.

Sebagai motosikal jelajah, Multistrada 950 mempunyai ketinggian tempat duduk 840mm dan dianggap agak tinggi bagi penunggang berketinggian dibawah 180 sentimeter (sm).

Oleh kerana penulis berketinggian melebihi 180sm, maka ketinggian pelana dan motosikal dianggap sangat bersesuaian.

Tetapi bagi penunggang memiliki fizikal lebih rendah, ketinggian motosikal ini memberi kelebihan kepada mereka untuk pengendalian lebih jitu.

Bagi penulis, penunggang yang memiliki fizikal tinggi atau rendah memiliki kelebihan masing-masing, sama seperti Multistrada 950.

Ada yang mendakwa motosikal ini kurang kuasa berbanding abangnya, malah dianggap tidak sesuai untuk tunggangan lasak.

Namun, sepanjang bersama jentera merah ini, penulis tidak berkesempatan untuk mengujinya di laluan lasak, hanya menyasarkan jalan raya sekitar ibu kota dan lebuh raya.

Tetapi berdasarkan kepada pengalaman rakan media lain yang menunggang uji jentera ini di laluan lasak anjuran Next Bike Sdn Bhd selepas pelancarannya tahun lalu, ternyata Multistrada 950 tidak mengecewakan.

Situasi sama turut dirasai tatkala menunggang di jalan raya biasa apabila jentera mudah dikawal dengan tindak balas enjin tidak terlalu agresif.

Kedudukan penunggang yang menegak membolehkan jarak penglihatan lebih luas ketika bersesak bersama kenderaan lain.

Selain itu, pelana yang besar dan empuk memastikan penunggang menikmati perjalanan lebih selesa.

Empat mod ditawarkan iaitu Urban, Touring, Sport dan Enduro membolehkan penunggang memastikan nadi jentera bersesuaian dengan kondisi tunggangan.

Menggunakan enjin Testastretta11 Silinder L Berkembar 983cc, jentera ini berkongsi nadi sama dengan model Hypermotard.

Bagaimanapun, hamburan kuasa Multistrada 950 ditala semula menjadi 113 kuasa kuda (hp) pada 9,000rpm manakala daya kilas maksimum 96Nm pada 7,750rpm.

Pelengkap kepada jentera buatan Itali seberat 229 kilogram ini adalah sistem keselamatan terbaik ditawarkan pengeluar.

Sistem brek antikunci (ABS) tiga tahap boleh dipilih manakala lapan tahap sistem kawalan cengkaman Ducati (DTC) boleh ditetapkan mengikut kesesuaian melalui butang kawalan di bahagian kiri pemegang.

Malah, mod ini boleh ditukar serta merta ketika sedang bergerak tanpa perlu memberhentikan motosikal.

Kuasa membrek adalah setaraf abangnya, Multistrada 1200 apabila dibekalkan dengan set berkembar cakera terapung 320mm serta angkup Brembo Monobloc empat piston di hadapan manakala cakera tunggal 265mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang.

Kesimpulannya, Multistrada 950 sebenarnya bukanlah ‘budak kecil’ untuk kategori berkenaan berbanding Multistrada 1200 yang lebih berkuasa tetapi menjadi salah satu varian terbaik untuk mereka yang mahukan jentera maskulin di bawah 1,000cc.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here