Latif terbaik

0
66



Kuala Lumpur: Kejutan dilakarkan pemenang emas Sukan Paralimpik Rio Abdul Latif Romly dan ratu silat negara Siti Rahmah Mohamed Nasir apabila masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2016, malam tadi.

Latif jelas terkejut apabila diumumkan pemenang untuk meraih anugerah berprestij berkenaan apabila mengenepikan lima calon lain termasuk Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan pemenang tahun lalu Mohd Al Jufferi Jamari.

“Sememangnya amat mengejutkan kerana calon lain jelas mempunyai karisma dan turut meraih pencapaian yang bagus. Namun ini mungkin rezeki saya selepas berusaha bersungguh-sungguh.

“Secara tidak langsung pengiktirafan ini akan membakar semangat saya untuk terus melakar kejayaan dan menaikkan nama negara di pentas antarabangsa,” jelas atlet berusia 20 tahun itu yang menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan RM20,000.

Jelas Latif yang melakar tiga rekod dunia sebelum meraih emas di Rio dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran), anugerah itu tidak akan tercapai tanpa sokongan orang di sekelilingnya termasuk keluarga, jurulatih, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

Kemenangan Latif itu yang pertama buat atlet paralimpik negara sejak anugerah berkenaan mula diperkenalkan pada 1966. Tahun ini adalah edisi ke-51 anugerah berprestij itu.

Selepas sekadar menjadi finalis tahun lalu, Siti Rahmah akhirnya boleh berbangga apabila dinobatkan Olahragawati Kebangsaan untuk mengenepikan calon utama dan pemenang tahun lalu, Pandelela Rinong.

Atlet berusia 30 tahun itu nyata unggul apabila bergelar juara dalam kelas E Puteri di Kejuaraan Silat Dunia tahun lalu. Ia adalah kali ketiga dia bergelar juara dunia.

“Saya rasa amat terharu apabila akhirnya diumumkan sebagai pemenang. Dapat sebaris dengan calon akhir sebenarnya sudah cukup membanggakan.

“Kejayaan ini satu pengiktirafan buat sukan silat selepas tahun lalu, Al Jufferi menang Olahragawan Kebangsaan dan jurulatih kebangsaan (Nasri Nasir).”

Malah, majlis disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V itu turut menobatkan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Dr Mohd Ali Rustam sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Sukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here