Latiff sedia jadi arkitek

0
284
Advertisement



KUALA TERENGGANU: Pemain serba boleh Terengganu FC (TFC), Abdul Latiff Suhaimi sedia menjadi arkitek pasukannya bertemu Selangor malam esok, sekiranya diberi amanah oleh pengendali, Irfan Bakti Abu Salim.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan yang kerap beraksi di posisi pertahanan musim ini turut bersedia menjadi ‘watak’ penting pasukannya bagi memastikan tiga mata menjadi milik skuadnya.

“Biarpun bertandang di tempat lawan bertemu Selangor, jika saya diturunkan saya akan cuba memberikan persembahan terbaik dalam aksi terakhir liga itu.

“Saya juga harap rakan sepasukan mampu memperagakan aksi terbaik kerana skuad kami masih berpeluang untuk menduduki tangga kedua liga,” kata pemain berasal dari Kelantan itu.

Dua ‘jawatan’ bahagian tengah kini kosong selepas pemain kelahiran England, Lee Tuck dan Kemboja, Thierry Chantha Bin terpaksa memanaskan bangku simpanan selepas masing-masing menerima tiga kad kuning, sekali gus membuatkan Irfan bakal menerapkan idea baharu.

Mengenai ketiadaan dua pemain tengah itu dan ditambah kecederaan pemain sayap, Abdul Malik Mat Ariff,  Latiff berkata, situasi itu tidak mencemaskan pasukannya kerana pemain gantian juga berkualiti dan berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Super.

“Saya yakin dengan taktikal dan strategi Irfan Bakti kerana jurulatih itu kaya dengan ilmu, tetapi bagi saya semua itu tidak cukup jika pemain gagal mempamerkan aksi sebenar,” ujar Latiff.

TFC kini menghuni tangga keempat liga berkongsi 34 mata dengan Pahang dan masih berpeluang untuk memintas skuad Tok Gajah serta Perak yang berada di kedudukan kedua liga jika menang bertemu Selangor sambil mengharapkan dua pasukan itu tewas kepada lawan masing-masing.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here