Lazada Malaysia perluas pilihan produk automotif

0
33

Lazada Malaysia menyasarkan untuk memperluaskan pilihan produk di bawah segmen automotifnya dalam tempoh dua tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hans-Peter Ressel.

Beliau berkata terdapat kira-kira satu juta produk automotif yang boleh didapati di platformnya pada masa ini, termasuk minyak dan cecair serta aksesori, dan permintaan terhadap produk itu semakin meningkat.

“Kami merancang untuk menambah lebih banyak produk. Syarikat sekutu kami (Lazada Indonesia) menjual motosikal dan kami turut mempertimbangkannya.

“Bagaimanapun, kami masih menumpukan kepada aksesori, berikutan terdapat permintaan,” katanya kepada media selepas melancarkan gedung rasmi dalam talian Shell yang pertama di Lazada Malaysia hari ini.

Ressel berkata syarikat akan menumpukan kepada memenuhi permintaan bagi komponen kenderaan, termasuk alat ganti, sebelum menceburi segmen lain.

“Kami akan memenuhi segmen ini sebelum kami mempertimbangkan untuk beralih kepada menawarkan kereta dan motosikal baharu atau terpakai, yang mungkin menjadi kenyataan pada tahun depan atau tahun selepasnya,” katanya.

Pada masa ini, platform e-dagang itu menawarkan hampir kepada 40 juta produk untuk dijual.

Kerjasama antara Lazada Malaysia dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dijangka memberi manfaat kepada pengguna, berikutan mereka akan mempunyai akses kepada pelbagai produk Shell Helix melalui platform tersebut.

“Jenama seperti Shell mengiktiraf kepentingan e-dagang di Asia Tenggara, dan kami bersedia bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk meningkatkan kehadirannya dalam talian, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau ini,” kata Ressel.

Gedung dalam talian itu turut menawarkan pakej servis minyak enjin di bengkel berdaftar terpilih di Lembah Klang dan Johor.

“Terdapat permintaan bagi produk ini, bukan sahaja di kawasan metropolitan seperti Kuala Lumpur, tetapi juga di Pantai Timur dan utara.

“Kami bersedia untuk memanfaatkan segmen pelanggan baharu ini. Bengkel juga akan mempunyai akses kepada sokongan teknikal produk berkaitan dengan jenis minyak motor Shell Helix,” kata Ressel.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here