LCW mara suku akhir

0
96



Kuala Lumpur: Pemain Jepun Kenta Nishimoto menjadi mangsa terbaru Datuk Lee Chong Wei apabila pemain nombor satu dunia itu menang straight set 22-20, 21-12 di pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC), semalam.

Chong Wei yang juga pilihan utama kejohanan, hanya memerlukan 44 minit untuk mengetepikan cabaran Nishimoto di Pusat Sukan Wuhan.

Menanti Chong Wei di suku akhir hari ini ialah Hsu Jen Hao dari Taiwan yang mengalahkan Ajay Jayaram (India) 21-19, 21-10.

“Tidak ada apa yang perlu saya komen mengenainya (Nishimoto) tetapi pada kali pertama menentangnya, saya lihat dia adalah antara pemain yang mampu meningkat naik pada masa akan datang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelas Chong Wei yang juga penyandang juara, selepas menang set pertama dia mula selesa dan yakin untuk mencatat kemenangan mudah di set seterusnya sekali gus menempah slot ke suku akhir.

“Berdasarkan aksi sulung dengannya hari ini (semalam), saya rasa dia mampu menjadi salah seorang pemain terbaik Jepun pada masa akan datang,” kata Chong Wei.

Bagaimanapun, hasrat seorang lagi pemain perseorangan lelaki Chong Wei Feng untuk mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tumpas 18-21, 9-21 kepada Ng Ka Long dari Hong Kong.

Nasib yang sama menimpa kedua-dua pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila ditundukkan lawan masing-masing.

V Shem-Wee Kiong tumpas 19-21, 16-21 kepada Huang Kaixiang-Wang Yilyu (China) manakala Yew Sin-Ee Yi tunduk di tangan Li Junhui-Liu Yuchen juga dari China 21-13, 17-21, 15-21.

Pujian juga harus diberikan kepada Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang berjaya mara selepas menundukkan Huang Yaqiong-Tang Jinhua dari China 16-21, 21-14, 21-16 dan mereka akan berdepan pilihan utama Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi (Jepun).

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menumpaskan Kenta Kazuno-Ayane Kurihara dari Jepun 21-11, 21-8, turut ke suku akhir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here