Lebih ramai wanita dalam bidang keusahawanan menjelang 2020 – Shahrizat

0
185
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dijangka meningkat kepada 23 peratus menjelang 2020, kata Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata data yang dikemukakan SME Corporation Malaysia turut menyatakan bahawa setakat ini sebanyak 20.6 peratus wanita di negara ini terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Majlis Amanah Rakyat (MARA) tahun lepas telah melancarkan Program Pembangunan Perniagaan Khas Untuk Usahawan Wanita (DanaNITA) dalam mencapai hasrat kerajaan untuk menyasarkan sebanyak 30 peratus penglibatan wanita dalam bidang membuat dasar dan keusahawanan.

“Sejak DanaNITA dilancarkan, MARA telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM12.4 juta yang memberi manfaat kepada 452 usahawan wanita di seluruh negara. Bagi tahun ini pula, sejumlah RM20 juta diperuntukkan dengan meletakkan sasaran membantu lebih 100 usahawan,” katanya.

Shahrizat berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Wanita Inspirasi Mendaya Komuniti (WISDOM) anjuran MARA yang berlangsung selama sehari di sini, pada Rabu.

Shahrizat berkata WISDOM diwujud untuk meningkatkan penglibatan dan memperkenalkan peranan wanita Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

“Jumlah penyertaan yang tinggi dalam program hari ini membuktikan MARA terus memainkan peranan penting dalam membangunkan usahawan wanita Bumiputera dalam mencapai matlamat mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu usahawan wanita dalam pelbagai kluster peniagaan,” katanya.

Lebih 500 orang menyertai program WISDOM hari ini yang terbahagi kepada empat komponen utama iaitu seminar, showcase usahawan, foto galeri dan klinik usahawan, kata Shahrizat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here