Legasi ikon kompak [METROTV]

0
3370
Advertisement



Terjual lebih satu juta unit menjadikan Perodua Myvi layak dinobatkan sebagai model kenderaan paling laris dalam catatan automotif tempatan sejak mula diperkenalkan pada 2005.

Malah untuk generasi ketiga yang dilancarkan, baru-baru ini, sebanyak 1,000 unit ditempah dalam tempoh dua minggu sebelum angka tempahan terus melonjak sehingga 5,000 unit ketika prapelancaran.

Sudah pasti rekaan kompak, ruang yang luas dan prestasi enjin menjadi faktor utama pembeli untuk memiliki jentera pilihan rakyat ini.

Kini, Myvi Serba Baru hadir dengan 100 peratus rekaan baru dengan pilihan enjin 1.3 dan 1.5 liter. Lima varian ditawarkan iaitu 1.3 Standard G (MT) dan 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT), 1.5 Advance (AT).

Penulis antara media yang terawal berpeluang memandu uji Myvi Serba Baru 1.5 Advance dan sebagai kenderaan bawah RM56,000, pelbagai ciri terkini disertakan adalah pelaburan berbaloi.

MYVI ikon kompak kenderaan tempatan.

Bermula dengan rekaan luaran, ia tampil segar dengan saiz keseluruhan lebih panjang berbanding model terdahulu, namun diperendahkan 30mm agar lebih kestabilan.

Lampu hadapan dan belakang LED menjadikan pandangan lebih cerah dan jelas dengan fungsi ‘auto-off’ dan ‘follow me home’.

Rim aloi dua tona bersaiz 15 inci menyerlahkan gaya kompak manakala varian 1.3 bersama rim bersaiz 14.

Untuk model ini, ia juga dipasang skirt sisi, bampar belakang dua tona termasuk spoiler selain antena sirip yang lebih sporty.

REKAAN serba baru lebih sporty.

Menjengah ke ruang dalaman Myvi Serba Baru ini, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang tekan mula (Push-Start) membolehkan pemandu tidak perlu lagi menggunakan anak kunci bagi menghidupkan enjin.

Pendingin hawa larasan digital boleh ditetapkan dalam dua mod memori.

Kerusi kulit hadapan dengan kemasan jahitan merah dan putih selesa untuk pemandu serta penumpang.

Bahagian belakang dipanjangkan 937mm untuk kelegaan ruang kaki manakala ruang but seluas 277 liter, 69 liter liter lebih besar daripada Myvi generasi kedua mampu memuatkan empat beg beroda dengan mudah.

BAHAGIAN dalaman dengan ciri elegan.

Kerusi belakang boleh direbahkan dan konfigurasi tempat duduk boleh laras 8+1 yang disesuaikan dengan pelbagai aktiviti sangat membantu.

Sistem multimedia ‘Smart Link’ dengan sambungan Bluetooth dilengkapi paparan kamera undur selain Pengesan Kedudukan Global (GPS) antara ciri premium yang datang bersama varian ini.

Bagi mereka yang mahu mengecas gajet dan telefon bimbit, tiga saluran USB sangat praktikal serta membantu.

Penyangkut beg tangan anti kecurian pada kerusi penumpang hadapan amat berguna terutama kepada pemandu wanita.

TEMPAT duduk penumpang dengan ruang kaki selesa.

Panel meter dilengkapi paparan pelbagai maklumat LCD dengan lingkaran biru pada ruang analog manakala roda stereng balutan kulit boleh laras dengan butang fungsi sambungan telefon serta audio.

Paling menarik, varian ini didatangkan dengan ciri alat pembaca tol binaan dalam dengan penunjuk baki dan anda hanya perlu menyediakan kad prabayar untuk mengaktifkannya.

SISTEM pendingin hawa dan butang penghidup enjin.

Nadi 1.5 liter Dual VVT-i DOHC dengan kotak gear empat kelajuan automatik yang menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) menawarkan penjimatan bahan api terbaik.

Melalui pengalaman penulis, enjin NR dihasilkan di kilang Daihatsu Perodua di Sendayan, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 20.1 dan 21.1 kilometer seliter (km/l).

Selain fungsi ‘Eco Idle’, enjin terbaru ini mencatatkan 103 PS pada 6,000 rpm dan daya tork 136 Nm pada 4,200 rpm.

PEMBACA tol binaan dalam.

Untuk kestabilan, Myvi Serba Baru dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) serta enam beg udara.

Perbezaan varian ini dengan model lain adalah teknologi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) yang kali pertama diperkenalkan. Teknologi ini membolehkan Amaran Pra-Pelanggaran (Pre-Collision Warning) diberikan kepada pemandu supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan segera.

Fungsi Brek Pra-Pelanggaran (Pre-Collision Braking) membantu memberhentikan kenderaan dengan membrek secara automatik jika pemandu gagal menekan pedal brek manakala Peringatan Bergerak ke Depan (Front Departure Alert) memberi amaran kepada pemandu bahawa kenderaan hadapan sudah bergerak terutama ketika kesesakan jalan raya.

SISTEM ASA menggunakan kamera stereo.

ASA didatangkan dengan Kawalan Kegagalan Pedal (Pedal Misoperation Control) yang menghalang pergerakan kereta jika pemandu secara tidak sengaja tertukar transmisi mengundur kepada ‘drive’. Sistem ini akan diaktifkan sekiranya ada halangan di hadapan seperti dinding atau tembok.

Direka hasil kaji selidik dan pandangan pengguna, maka ia dilihat sebagai model yang sesuai untuk semua golongan sama ada bujang, berkeluarga, eksekutif, pelajar atau warga emas yang inginkan kereta untuk kegunaan harian.

Selepas memandu uji selama beberapa hari, penulis mendapati produk terbaru Perodua ini bukan sahaja praktikal ketika mengharungi kesesakan jalan raya dan parkir, malah prestasi enjin tidak mengecewakan ketika memecut di lebuh raya.

ENJIN 1.5 liter dengan dual VVT-i.

Setangki penuh membolehkan penulis mencatatkan jarak perjalanan lebih 400 kilometer (km), bergantung pada cara pemanduan dan faktor jalan raya.

Keseluruhannya, penulis berpendapat Myvi Serba Baru ini adalah kompak berciri premium pada harga berpatutan. Model 1.5 Advance ditawarkan pada harga RM55,300 (tanpa insurans) dengan waranti lima tahun atau 150,000km.

Enam warna ditawarkan iaitu Kelabu Granite, Merah Lava, Ungu Mystical, Perak Glittering, Putih Ivory dan Hijau Peppermint (1.3 liter sahaja).

BUT belakang dengan ruang sehingga 277 liter.

PERODUA MYVI 1.5 ADVANCE

• ENJIN: 1,496 cc DOHC empat silinder dengan Dual VVT-i,

• KUASA MAKSIMUM: 103PS pada 6,000 rpm

• TORK MAKSIMUM: 136Nm pada 4,200 rpm

• TRANSMISI: Empat kelajuan automatik

• KAPASITI BAHAN API: 36 liter

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Signal Berhenti Kecemasan (ESS) dan ISOFIX

• HARGA: RM55,300 (tanpa insurans)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here