Legasi si pembuat bot

0
60



Kuantan: Pada mulanya ia sekadar punca pendapatan bagi menampung keperluan harian isteri dan 10 anak, namun pembuat bot, Sidek Ibrahim, 66, tidak menyangka kerjayanya itu diminati lapan daripada 10 anaknya sehingga mereka mengikuti jejak langkahnya sebagai pembuat bot terlatih.

Sidek berkata, sejak menceburi bidang pembuatan dan pertukangan bot pada awal 1990-an, dia sekadar bekerja untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan harian keluarga besarnya itu sebelum mempunyai modal dan mengusahakannya secara kecil-kecilan di perkampungan Bukit Rangin, di sini.

Katanya, dia tidak pernah menanam minat atau memaksa anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai pembuat bot, namun minat itu lahir dengan sendiri apabila anaknya menyaksikan hasil kerjanya itu setiap hari di pekarangan rumah.

“Mula-mula mereka sekadar membantu, lama-kelamaan mereka mula menunjukkan minat. Jadi saya ambil pendekatan untuk mengajar mereka dengan beberapa kemahiran lain termasuk dalam pembuatan bot gentian kaca.

“Lapan daripada 10 anak saya kini mahir membuat bot, malah mereka mempunyai kepakaran masing-masing dalam menghasilkan sebuah bot,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sidek yang berasal dari Tumpat, Kelantan berkata, industri pembuatan bot diusahakannya di kawasan rumahnya itu turut menarik minat seorang daripada menantu lelakinya untuk belajar, sekali gus membantunya menyempurnakan tempahan dibuat orang ramai.

Katanya, semua anaknya yang kini berusia 23 hingga 46 tahun turut membantunya apabila mempunyai masa lapang, biar pun sebahagian daripada mereka sudah mendirikan rumah tangga.

“Bila saya kenang zaman anak saya masih kecil memang susah. Bayangkan saya seorang perlu menanggung 10 anak yang sedang membesar dengan pendapatan harian boleh dianggap seperti cukup-cukup makan.

“Kadangkala bila tidak cukup duit kami tidak makan pada hari itu, bila ada duit bolehlah saya membeli barangan keperluan dapur.

“Berkat kesabaran saya bekerja sebagai tukang bot dan wang simpanan dimiliki, saya mampu mengusahakannya sendiri,” katanya.

Dia turut melahirkan kesyukuran kerana sehingga kini masih mendapat kepercayaan orang ramai yang mahukan sentuhan pembuatan bot daripadanya terutama pada musim tengkujuh yang mendapat permintaan tinggi.

Menurutnya, dia tidak memerlukan modal besar terutama dalam soal menggajikan pekerja kerana anaknya sendiri yang akan membantu untuk menyiapkan bot yang ditempah.

“Betul kata orang dulu, kalau kita bersabar dan ikhlas dalam mencari rezeki halal untuk keluarga, Allah SWT akan membantu kita. Sehingga hari ini, saya tidak menyangka anak mengikuti jejak langkah sebagai pembuat bot,” katanya.

Sidek berharap, kesinambungan pembuatan bot diusahakannya lebih 25 tahun itu diteruskan anaknya pada masa depan biarpun dia sudah tiada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here