Lelaki bakar rumah sendiri sekali lagi

0
115



Parit Buntar: “Dia pernah membakar rumah sehingga menyebabkan bahagian dapur mengalami kerosakan selain membakar rumah penduduk berhampiran sekitar lapan tahun lalu namun api berjaya dipadamkan,” kata keluarga terdekat lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental sehingga bertindak membakar rumahnya sendiri.

Dalam kejadian 9.30 malam kelmarin itu, lelaki berkenaan membakar kediamannya di Kampung Parit Haji Tahir, Jalan Bahru, Kuala Kurau, dekat sini sehingga terbakar 80 peratus serta memusnahkan sebuah motosikal jenis Yamaha SS.

Menurut adik bongsu lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Haider, 32, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana mengikuti kuliah di Gunung Semanggol, Bagan Serai.

Katanya, dia terkejut dimaklumkan oleh seorang rakan mengenai kejadian itu lalu segera pulang ke rumah.

“Saya tidak dapat melakukan apa-apa selepas mendapati keseluruhan rumah bersama kelengkapan termasuk beberapa dokumen penting terbakar.

“Saya tidak tahu bagaimana kebakaran berlaku dan kerugian dialami hampir RM200,000,” katanya.

Menurutnya, abangnya itu anak ketiga dari lima beradik dan mengalami masalah kesihatan sejak berusia belasan tahun.

Katanya, dia merayu kepada pihak berkenaan supaya abangnya ditempatkan di pusat rawatan yang sesuai sehingga pulih sepenuhnya sebelum dibebaskan kerana bimbang perkara sama atau yang lebih buruk berlaku.

Bapa saudara mangsa, Saad Asmawi, 96, yang tinggal bersebelahan rumah berkata, dia yang sedang berehat selepas pulang dari solat Isyak di surau berhampiran, terkejut melihat cahaya terang dari tingkap rumahnya.

Katanya, dia bersama keluarga segera memeriksa kejadian itu dan terkejut melihat api yang marak membakar rumah anak saudaranya itu hampir menyebabkan rumahnya terbakar lalu segera mendapatkan bantuan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya yang menerima aduan mengenai kejadian, segera ke lokasi dan menjalankan siasatan.

Katanya, pemilik rumah berusia 37 tahun itu mengaku membakar rumah berkenaan sendiri dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas polis.

“Soal siasat mendapati lelaki itu adalah pesakit mental dan sudah banyak kali ditahan polis kerana mengganggu ketenteraman awam.

“Suspek kini ditempatkan di Hospital Taiping dan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan. Walau bagaimanapun punca utama dia membakar kediamannya masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, Penolong Penguasa Bomba Jamaluddin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.37 malam segera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut dibantu BBP Parit Buntar dan Persatuan Bomba Sukarela Kuala Kurau berjaya memadamkan kebakaran.

Katanya, operasi tamat jam 10.28 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak kami.

SHARE
Previous articleHanyut dibawa arus
Next articleTunjuk lesen dik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here