Lelaki minta rasuah untuk tutup kes dari VIP ditahan

0
23



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan seorang lelaki kerana disyaki telah meminta dan menerima wang suapan kononnya untuk menutup kes yang disiasat agensi itu.

Suspek berusia 54 tahun itu difahamkan telah meminta RM70,000 daripada seorang kenamaan yang sedang disiasat oleh SPRM untuk menutup fail kes melibatkannya.

Menurut sumber, pengadu ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama wang tunai kira-kira RM20,000 lebih kurang jam 9.30 malam semalam.

Difahamkan, suspek yang bekerja di sebuah agensi media akan memberitahu pengadu bahawa dia mempunyai kenalan di SPRM dan mampu menyelesaikan kes melibatkannya yang disiasat oleh SPRM.

Suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah Putrajaya untuk direman hari ini bagi membantu siasatan SPRM mengikut seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata SPRM memandang serius perkara tersebut.

Beliau berkata SPRM tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan sedemikian yang boleh menjatuhkan reputasi SPRM.

“Ini bukan kali pertama kejadian seperti berlaku dan SPRM sebelum ini telah mengambil tindakan ke atas beberapa individu sebelum ini kerana menggunakan nama SPRM untuk mengutip rasuah dan ini merupakan suatu perbuatan yang boleh menjejaskan nama baik SPRM,” ujar beliau.

Orang ramai khususnya mereka yang disiasat SPRM diminta untuk berhati-hati supaya tidak terperdaya dengan individu-individu berkenaan.

SPRM meminta sesiapa yang didatangi mana-mana individu yang kononnya mampu menyelesaikan kes SPRM untuk tampil memberikan maklumat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here