Lelaki pukul anak isteri dengan tukul besi kerana dikejutkan dari tidur

0
41

JAKARTA: Gara-gara marah kerana dikejutkan dari tidur, seorang lelaki memukul kepala dua anak dan isterinya menggunakan palu atau tukul besi sebelum mengamuk sehingga merosakkan harta benda jirannya.

Menurut laporan media dalam talian hari ini, kejadian itu berlaku pada 4 petang semalam di sebuah kawasan perumahan awam di Kampung Kalodran, daerah Walantaka di Kota Serang, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Stanley yang berang dengan anaknya yang mengejutkan beliau, terus mencapai palu dan memukul kepala dua anaknya iaitu Marcel, 8, dan April, 5, sebelum memukul kepala isterinya Diah, yang berusia 35 tahun.

Ketua Rukun Tetangga kawasan perumahan awam itu, Harahap dipetik sebagai berkata, kejadian itu disedari oleh jiran-jirannya apabila terdengar jeritan meminta tolong daripada isteri lelaki terbabit.

Katanya, setelah beberapa jiran datang ke rumah mangsa, lelaki terbabit kemudiannya keluar rumah dan mengamuk serta memecahkan beberapa kenderaan dan cermin tingkap beberapa rumah dengan menggunakan palu itu.

“Penduduk kampung kemudiannya keluar beramai-ramai dan berjaya menangkap lelaki terbabit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis,” katanya.

Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini ditahan di balai polis Kota Serang manakala anak isterinya dimasukan ke hospital berdekatan kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here