Lemos akui kegagalan NS kerananya

0
176
Advertisement



MARIO Lemos mengakui pertukaran tiga jurulatih dalam tempoh singkat antara faktor menyaksikan persembahan ‘yo-yo’ dan menyumbang kepada kegagalan Negeri Sembilan untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

Pengendali berasal dari Portugal berusia 34 tahun itu berkata, sukar bagi setiap jurulatih untuk membina gaya permainan dalam masa singkat, malah pemain juga tidak dapat menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu.

“Mana-mana jurulatih pun sukar untuk mendapatkan rentak permainan yang dikehendaki apabila berlaku pertukaran yang kerap dan dalam tempoh singkat.

“Pemain juga tidak dapat menyesuaikan diri dengan cepat terhadap corak dan taktikal baharu yang cuba diketengahkan, sekali gus menyebabkan persembahan pasukan tidak seperti diharapkan.

“Tambahan pula dengan masalah kecederaan yang kerap melanda pemain utama menyebabkan setiap perancangan terjejas ketika pasukan amat mengharapkan kemenangan dan mengutip mata,” katanya di sini, hari ini.

Lemos membuat rumusan itu selepas pelbagai dakwaan dan rasa tidak puas hati yang dilemparkan penyokong pasukan itu apabila Negeri Sembilan sekadar mencatat empat kemenangan daripada keseluruhan 22 perlawanan Liga Super dan menduduki tangga tercorot dengan 15 mata.

Beliau yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin bermula 10 Mei lalu ketika pasukan itu berada dalam kelompok terbawah carta liga, mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan perlawanan di bawah kendaliannya.

“Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan pasukan dalam Liga Super musim depan namun ia tidak mencukupi. Saya akui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pencapaian pasukan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here