Lemos hitung nasib

0
97
Advertisement



KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos menyerahkan kedudukannya kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas skuad bimbingannya itu tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Pengendali berasal dari Portugal berusia 34 tahun itu berkata, setakat ini beliau sendiri belum dapat pastikan mengenai nasibnya, namun akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga penghujung musim, seperti terkandung dalam kontrak perkhidmatannya.

“Saya tidak tahu apa berlaku musim depan dan semuanya terserah kepada majikan iaitu PBNS. Saya akan menghormati sebarang keputusan akan dibuat majikan.

“Namun, buat masa ini saya akan terus bekerja sehingga ke penghujung musim seperti ditetapkan dan tidak akan berputus asa untuk membantu pasukan ini.

“Saya ingin kekal bersama Negeri Sembilan bagi membolehkan saya melakukan persiapan lebih awal sebelum musim baharu bermula dan yakin dapat memperbaiki keadaan serta melonjakkan kembali nama pasukan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Lemos dilantik menggantikan pengendali sebelum ini, Mohd Azraai Khor Abdullah selepas tiada perubahan dari segi peningkatan prestasi dipamerkan skuad berkenaan.

Beliau yang memulakan tugas pada 10 Mei lalu berjaya membantu Negeri Sembilan meraih tiga kemenangan dan satu seri iaitu menewaskan Kelantan 2-0, menewaskan PKNS FC, 3-1 dan menundukkan Selangor, 3-1 serta seri dengan Perak, 1-1.

Bagi Lemos, buat masa ini beliau tidak mahu memikirkan tentang kedudukannya sebaliknya mahukan yang terbaik buat Negeri Sembilan dan masa depan pasukan itu.

Negeri Sembilan yang berada di kedudukan ke-11 carta liga setakat ini mengumpul 15 mata, berkongsi mata dengan Kelantan di tangga ke-12 dan akan bertemu Melaka United (MU) pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri, Sabtu ini dan pertemuan itu tetap penting bagi menentukan kelayakan mereka bagi saingan Piala Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here