Les Bleus beri Mbappe ruang

0
277
Advertisement



NIZHNY NOVGOROD, Russia: Bagaimana untuk memastikan Kylian Mbappe memperoleh segala ruang bagi merobek barisan pertahanan penuh disiplin Uruguay, menjadi perkara utama di fikiran jurulatih Perancis, Didier Deschamps dalam aksi suku akhir Piala Dunia, Jumaat ini.

Pemain remaja sensasi itu sudah pun dibandingkan dengan legenda Brazil, Pele apabila muncul penyelamat Perancis ketika menyingkirkan Argentina di pusingan kedua tetapi dia memerlukan segala sokongan jika impak yang sama mahu diulang di Stadium Nizhny Novgorod, di sini.

Cara terbaik untuk memanfaatkan sepenuhnya kepantasan dan ketajaman memburu gol pemain berusia 19 tahun itu yang meledak dua gol ketika Perancis menewaskan Argentina 4-3, menjadi perdebatan hangat sehingga pada satu ketika menjadi masalah buat jurulatihnya.

“Saya tidak boleh mengadu apabila saya mempunyai pemain yang boleh memainkan peranan di beberapa posisi serangan,” kata Deschamps pada awal tahun ini.

“Tetapi saya akan memastikan yang mereka biasa dengan posisi terbaik mereka.”

Ketika ramai pengkritik menegaskan Mbappe sepatutnya diberikan peranan sebagai penyerang klasik di depan gawang, Deschamps gemar meletakkannya di bahagian kanan serangan sekali gus memberi peluang buat Olivier Giroud dan Antoine Griezmann bagi mengemudi jentera serangan Perancis.

Perancis akan memerlukan kekuatan bahagian serangan kerana untuk memecahkan pertahanan Uruguay bagaikan cuba memecahkan jalan tar menggunakan penukul besi.

Pertahanan Uruguay yang dikuatkan dengan kapten, Diego Godin dan Jose Gimenez yang beraksi bersama Atletico Madrid berjaya mengekalkan rekod enam daripada tujuh perlawanan tanpa dibolosi dan corak permainan mereka tampak tidak akan berubah.

Lebih menyukarkan, mereka mempunyai jentera serangan yang cukup digeruni iaitu Edinson Cavani dan Luis Suarez sekali pun Cavani mungkin tidak cergas untuk disenaraikan susulan kecederaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here