'Letak jawatan jika putuskan hubungan dengan PKR'

0
60



PAS perlu membuat keputusan muktamad tentang tahalluf siyasi dan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya memantau perjalanan Muktamar PAS terkini memandangkan ia berkait dengan strategi PKR dan Pakatan Harapan dalam PRU14.

“Tambahan pula, sebarang keputusan PAS mengenai tahalluf siyasi dengan PKR akan ada kesan kepada penyertaan PAS dalam Kerajaan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya ambil maklum usul yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama PAS dan tidak terkejut jika usul yang serupa akan terus diluluskan sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS pada hari ini.

“Saya juga kesal serangan dan kritikan kasar terhadap YAB Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor yang dibuat oleh perwakilan Dewan Ulama PAS semasa perbahasan semalam,” tegasnya lagi.

PAS juga, katanya, telah menzahirkan secara jelas tanpa berselindung untuk memimpin beberapa negeri termasuk Selangor yang kini diterajui PKR.

“Sebarang keputusan PAS yang bakal diambil adalah hak PAS dan PKR saya ulangi akan menghormatinya,” katanya.

Begitupun, tambahnya, adalah lebih molek sebarang keputusan dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan.

“Kerana jika PAS memutuskan tahalluf siyasi dengan PKR secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan.

“Sebarang tindakan yang lain dari itu akan memualkan rakyat kerana ruang politik pembangkang akan dilihat banyak berkisar kepada serangan kepada kawan sendiri (termasuk mengisytiharkan bertanding di kerusi-kerusi PKR) sedangkan pada masa yang sama masih mahu menerima habuan dari jawatan yang disandang di Selangor.

“Di mana logiknya memutuskan hubungan dengan AMANAH dan DAP (sebelum ini) dan kini mahu memutuskan hubungan dengan PKR, tetapi pada masa yang sama terus duduk bekerjasama sebagai sebuah kerajaan di Selangor?

“Oleh itu, saya menunggu keputusan muktamad dari Muktamar PAS dan PKR akan terus menggarap kekuatan semua pihak yang mahu menamatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here