Letup bom sambil dukung anak

0
8



Mosul: Seorang wanita penyokong Daish meletupkan bom sambil dia mendukung anaknya ketika dia dirakam kononnya untuk melarikan diri dari pertempuran di bandar Mosul, Iraq.

Penelitian yang dilakukan pada gambar berkenaan menunjukkan wanita memakai burka itu memegang pemicu bom pada tangan kanannya sambil dia mendukung anaknya ketika dia melintasi beberapa askar Iraq.

Wanita itu dirakam berjalan keluar dari kawasan yang ditawan semula tentera kerajaan Iraq bersama sekumpulan penduduk awam lain.

Dia cuba meletupkan bom itu di hadapan anggota tentera tetapi gagal sehinggalah dia berjalan beberapa langkah lagi, kata seorang jurukamera stesen televisyen al-Mawsleya.

Wanita itu, anaknya dan dua askar terbunuh sementara beberapa orang awam juga cedera dalam letupan itu.

Lebih 20 pengebom berani mati wanita penyokong Daish yang bersembunyi dalam kalangan orang awam dipercayai meletupkan diri mereka sejak dua minggu lalu.

Seorang pegawai Iraq berkata, Daish juga menggunakan anak sendiri sebagai perisai manusia.

Untuk menghalang serangan pengebom wanita memang sukar.

Budaya konservatif Iraq bermakna tentera tidak akan menyuruh wanita menyelak pakaian mereka untuk mencari bahan letupan seperti yang dilakukan pada lelaki.

Sementara itu, tentera Iraq yang dibantu pakatan yang diketuai Amerika Syarikat sudah menawan semula hampir keseluruhan Mosul daripada Daish, termasuk Kota Lama yang menempatkan sebuah masjid, tempat ketua kumpulan itu, Abu Bakar al-Baghdadi mengisytiharkan kerajaan khalifahnya pada 2014.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here