Liga Arab sokong peranan Kuwait dalam krisis Qatar

0
38

KAHERAH: Setiausaha Agung Liga Arab (AL) Ahmed Aboul Gheit menyuarakan sokongan penuh terhadap peranan Kuwait sebagai pengantara untuk menyelesaikan krisis Qatar, kata  jurucakap liga berkenaan Mahmoud Afifi.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, Gheit menyuarakan sokongan itu ketika pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Pertama Kuwait merangkap Menteri Luar, Sabah Al-Khaled Al-Sabah di Kaherah.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan terkini di Palestin, Yaman, Syria, Libya dan Iraq selain krisis kewangan yang melanda Liga Arab.

Al Sabah turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dan Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Al-Sabah memberikan taklimat mengenai peranan Kuwait dalam mengekalkan perpaduan bangsa Arab pada ketika rantau Arab berdepan cabaran getir. 

Di sebalik peranan Kuwait dan kuasa besar Barat diketuai Amerika Syarikat, pergolakan diplomatik masih berterusan di antara Qatar dan blok Arab. 

Krisis bermula apabila empat negara iaitu Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain yang diketuai Arab Saudi memutuskan hubungan laut, darat dan udara dengan Qatar pada bulan lepas.

Negara berkenaan mendakwa Qatar menyokong keganasan selain mengganggu hal ehwal dalaman negara lain dan berusaha menjalinkan hubungan baik dengan dengan Iran yang merupakan seteru Arab Saudi.

Qatar menafikan dakwaan itu dan menolak senarai 13 tuntutan dikemukakan blok Arab sebagai syarat untuk meneruskan kembali hubungan diplomatik.

Bagaimanapun, Oman dan Kuwait tidak menyertai pakatan berkenaan. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here