Lima termasuk 'Datuk' didakwa anggotai kumpulan jenayah

0
48



GEORGE TOWN: Lima lelaki termasuk seorang bergelar ”Datuk” hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang, ”Geng 24”.

Tertuduh Lim Boon Hooi, 40, dan Toh Kae Luen, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin dan Hokkien di Mahkamah Sesyen 1 di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Di Mahkamah Sesyen 2, Datuk Koh Thiam Hua, 38, Chan Yi Heng, 22, dan Harry Tan Cheng Yu, 31, turut mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua anggota terbabit didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ”Geng 24 Pulau Pinang” sepanjang 1 Jan 2015 hingga 6 Mei lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Kit dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

Toh diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid, Koh diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria dan Chan diwakili peguam S. Raveentharan manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Norsalha dan Irwan menetapkan tarikh sebutan 5 Julai untuk memberi tempoh kepada pihak pendakwaan menfailkan permohonan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here