LTAT umum 12.5 peratus dividen, bonus untuk FY17

0
181
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan jumlah dividen dan bonus sebanyak 12.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY17).

Dalam satu kenyataan hari ini, LTAT berkata, pembayaran itu terdiri daripada dividen enam peratus dan bonus 6.5 peratus dalam bentuk unit amanah untuk anggota aktif.

LTAT berkata, ini berikutan keuntungan tertinggi yang dicatat pada FY17 di mana ia telah meningkat 12.1 peratus dalam keuntungan bersih tidak diaudit sebanyak RM667.1 juta berbanding RM595 juta pada tahun sebelumnya.

Selaras dengan keuntungannya yang bertambah baik, LTAT berkata, ia telah mengumumkan kenaikan dividen bagi tahun itu, yang lebih tinggi daripada purata dividen tahunan dan bonus yang dibayar sejak penubuhan dana tersebut 45 tahun lalu sebanyak 11.3 peratus setahun.

“LTAT telah mencatat keputusan sangat baik pada tahun ini dan saya gembira dengan prestasinya dan yakin bahawa ia akan terus mencapai tahap kecemerlangan yang baru untuk kepentingan anggota tentera yang masih berkhidmat dan bersara,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

LTAT berkata, jumlah asetnya meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM10 bilion berbanding RM9.6 bilion tahun lepas dengan sumbangan ahli turut meningkat kepada RM8.8 bilion berbanding RM8.6 bilion yang dicatatkan pada FY16.

Lembaga itu berkata, ia telah memproses 8,139 permohonan pengeluaran daripada anggotanya pada 2017, setelah tamat perkhidmatan mereka dengan angkatan tentera yang berjumlah RM1.2 bilion.

Menurutnya, 2,401 anggota yang layak membeli rumah atau tanah dibayar RM20.1 juta sebagai sebahagian daripada Skim Pengeluaran Perumahan manakala sebagai sebahagian daripada Skim Faedah Kematian dan Kecacatan, RM6 juta telah dibayar kepada 183 ahli atau waris mereka.

Sebagai sebahagian daripada program transformasi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia, LTAT berkata, ia terus membantu anggota tentera menangani peningkatan kos sara hidup melalui penyediaan pelbagai barangan pengguna di bawah harga pasaran.

“Setakat ini, sebanyak 50 kategori produk boleh didapati melalui program ini, di mana RM10.9 juta dibelanjakan sebagai subsidi pada 2017,” katanya.

Lembaga itu berkata, ia juga telah menyumbang RM416.1 juta untuk membiayai program biasiswa dan kebajikan bagi manfaat lebih daripada 134,600 anggota tentera berkhidmat dan bersara yang layak serta keluarga mereka.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here