Lufya hamil empat bulan

0
28


LUFYA hadir dengan koleksi raya diberi nama Lulu and Ken.

KUALA LUMPUR: Ramadan kali ini cukup bermakna buat pelakon, Lufya Omar yang bukan saja menyambutnya dengan status baharu isteri orang, malah sudah berbadan dua.

Untuk pertama kalinya, Lufya berkongsi berita kehamilannya melalui Instagram, malam tadi.

Lufya yang berkahwin dengan doktor kacak, Che Muhammad Hafiz Che Baharom pada 26 November lalu memanjat kesyukuran dikurniakan zuriat apatah lagi berkongsi berita itu pada bulan penuh keberkatan.

“Saya dan suami belum tahu jantina anak. Jika diikutkan, saya mahu anak lelaki dan suami pula suka anak perempuan.

“Lucunya ketika kami singgah ke kedai kelengkapan dan baju anak, suami saya meluru ke bahagian anak perempuan dan saya pula sebaliknya. Tapi tak kisahlah apa jantina anak kami, asalkan dia lahir sihat,” katanya kepada BH Online.

Lufya mengaku berkahwin dengan doktor memudahkan dirinya melalui tempoh kehamilan.

“Perut saya sudah membesar. Berkahwin dengan doktor ini tumpuan lebih sedikit kerana suami pakar dalam hal perubatan dan cara menangani kesakitan,” katanya.

Lebih banyak berehat dan menjaga kandungan, Lufya turut mengambil kesempatan melipat ganda pahala pada bulan mulia ini.

“Kami dapat berbuka puasa dan beribadat bersama-sama. Banyak momen manis diisi. Apabila hamil ini, biasalah perhatian daripada suami jadi bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Lufya turut sibuk mempromosikan koleksi raya sedondon lelaki dan perempuan di bawah nama Lulu and Ken.

“Sambutan cukup menggalakkan. Lebih senang suami memberi sokongan malah sanggup jadi model memperagakan pakaian.

“Lulu adalah panggilan manja saya. Nama Ken pula diambil kerana suami selalu dianggap Ken iaitu patung lelaki Barbie,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here