Macam bukan final

0
50
Advertisement



 

KUALA LUMPUR: Hambar! Itulah suasana yang boleh menggambarkan mengenai kehadiran penyokong Selangor dan Pahang bagi aksi final Piala FA membabitkan dua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Strategi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) cuba mengubah cita rasa penyokong bola sepak tempatan untuk menyaksikan aksi Piala FA gagal selepas mereka mungkin lebih ghairah menyaksikan aksi suku akhir Piala Dunia antara Sweden dan England yang turut berlangsung malam ini.

Nyata aksi Piala FA menemukan dua gergasi bola sepak tempatan masih belum cukup ‘kuat’ untuk mengatasi demam Piala Dunia sedang melanda negara ini.

Setakat jam 7 malam, tempat duduk stadium masih belum dipenuhi dan banyak kekosongan berbanding tempoh waktu sama dalam beberapa aksi final sebelum ini.

Berdasarkan pengalaman lalu, keseluruhan tempat duduk penyokong sudah dibanjiri penyokong kedua dua pasukan menjelang jam 7 malam namun agak menghairankan apabila suasana sama tidak dapat disaksikan pada perlawanan final kali ini.

Tidak keterlaluan dikatakan aura final Piala FA kali ini kurang dirasai dan mungkin boleh dianggap ‘setaraf’ dengan perlawanan liga biasa dilangsungkan pada pertengahan minggu.

Bagaimanapun, di sebalik situasi suram, perang kain rentang masih dapat disaksikan sekali gus membantu menghangatkan sedikit perlawanan akhir antara penyokong kedua-dua pasukan yang diakui memiliki kelompok penyokong yang ramai dalam kancah bola sepak tempatan.

Apapun, kehadiran penyokong tegar yang menyaksikan perlawanan sudah tentu menjadi motivasi buat kedua dua pasukan untuk memberikan yang terbaik bagi merebut piala berprestij itu sekali gus merebut tiket ke kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here