MaGIC sedia bantu PKS untuk berdaya saing melalui inovasi

0
42

CYBERJAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bersedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memiliki daya saing di pasaran yang luas melalui inovasi syarikat pemula niaga.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ashran Ghazi berkata, PKS juga perlu bekerjasama dengan syarikat pemula niaga bagi menjana satu ekosistem perniagaan yang lebih mapan.

Katanya, walaupun kerajaan sering menggesa syarikat PKS untuk menjadi lebih berinovatif, tetapi cabaran sebenarnya adalah kebanyakan PKS sendiri tidak mempunyai unit penyelidikan dan pembangunan dan sering bergantung kepada pengasas syarikat itu sendiri untuk memikirkan idea baru.

MaGIC, katanya, tidak mahu PKS terlibat dalam era digital tanpa ada strategi yang tepat.

“Jadi MaGIC akan membantu mereka memasuki bidang perniagaan dalam talian tapi dengan sedikit kelainan kerana walaupun dunia perniagaan dalam talian menjanjikan pasaran yang luas, persaingannya juga adalah tinggi. Oleh itu kita mahu PKS kita berdaya mapan,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya anjuran bersama MaGIC dan Cyberview di sini, Jumaat.

Beliau berkata, MaGIC menyediakan platform untuk membantu syarikat yang memerlukan idea inovasi dalam perniagaan mereka.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here