MAHB bincang dengan 10 pihak berpotensi sebagai rakan ISG

0
21
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini dalam proses perbincangan dengan 10 pihak yang berpotensi sebagai rakan dalam pemilikan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokchen Istanbul (ISG).

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pengendali lapangan terbang itu yang berminat untuk mengekalkan pemilikan majoriti ISG dalam jangka masa pendek, telah mewujudkan nilai penting dalam lapangan terbang berkenaan.

Ini, katanya, telah mengundang minat banyak pihak berikutan kesukaran mendapatkan aset berkualiti di luar negara.

“Tambahan pula MAHB merupakan sebuah syarikat antarabangsa dengan reputasi yang baik di peringkat perniagaan. Oleh itu, ramai yang berasa selesa untuk menjalankan perniagaan dengan kami,” katanya pada taklimat media mengenai Perkembangan Perniagaan dan Prospek 2018 MAHB di sini, hari ini.

ISG mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM47.3 juta bagi suku ketiga tahun lepas namun Badlisham menjangkakan lapangan terbang itu akan mencatat semula keuntungannya pada tahun kewangan 2018.

Mengulas impak caj perkhidmatan penumpang (PSC), beliau berkata caj lebih tinggi pernah dikenakan tetapi terbukti tidak memberi kesan ketara terhadap permintaan perjalanan udara berikutan kadarnya yang rendah.

“Malah, kadar di sini adalah terendah di rantau ini. Walaupun berlaku kenaikan PSC antarabangsa pada tahun lepas, sektor itu sebaliknya mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus.

“Kami sedia maklum mengenai sensitiviti membabitkan soal ini kerana siapa pun tidak sanggup berbelanja lebih, terutama bagi perjalanan domestik. Kerajaan juga sedaya upaya memastikan kadar itu rendah,” katanya.

Selain itu, MAHB mengunjurkan perbelanjaan modalnya akan meningkat sebanyak 30 peratus untuk tempoh tiga tahun berikutnya sejajar usaha menambah baik, mengekalkan serta pengubahsuaian 10 lapangan terbang dalam rangkaiannya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana butiran sebenar akan dinyatakan dalam pengumuman keputusan kewangan syarikat bagi 2017.

Pada taklimat itu, Badlisham berkata MAHB akan memperuntukkan sejumlah RM52.5 juta tahun ini bagi tujuan penambahbaikan kemudahan dan pengubahsuaian enam lapangan terbang kecil (STOLports), termasuk pelaburan kira-kira RM42.1 juta untuk lapangan terbang di Sarawak. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here