MAHB kekal sebagai operator Lapangan Terbang ISG

0
14

ISTANBUL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mahu mengekalkan statusnya sebagai operator Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) tanpa mengira kepentingan pemilikannya di Lapangan Terbang Turki itu.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata walaupun MAHB terbuka untuk mencari rakan kongsi untuk ISG, namun ia tidak ditekan untuk melepaskan sebarang kepentingan dalam lapangan terbang milik penuhnya itu.

Beliau berkata MAHB terbuka untuk mana-mana pihak untuk membeli kepentingan dalam lapangan terbang itu untuk menambah nilai.

Namun, beliau tidak menyatakan sama ada MAHB mahu memegang majoriti kepentingan dalam ISG sekiranya berlaku penjualan.

“Kuantum (saham) akan bergantung kepada nilai yang boleh dibawa oleh rakan kongsi di meja rundingan,” katanya pada taklimat mengenai ISG di ibu negara Turki pada Selasa.

“Komitmen kami (MAHB) adalah untuk kekal sebagai operator lapangan terbang (ISG),” katanya.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa MAHB mungkin menjual saham minoriti dalam ISG.

Beliau berkata MAHB sebelum ini hanya memiliki 20 peratus kepentingan dalam ISG namun ia diberikan peranan sebagai operator lapangan terbang terbabit.

Beliau juga berkata MAHB tidak ‘berminat’ untuk melaksanakan pelaburan instrumen kewangan jika ia merancang menjual kepentingan, dan kini selesa dengan struktur modal ISG.

“Kami mahukan rakan kongsi yang tepat, pada nilai yang betul,” katanya.

Ditanya mengenai nilai yang perlu dimiliki rakan kongsi berpotensi yang boleh menyumbang kepada ISG, beliau berkata mereka boleh melibatkan diri dalam bidang perhotelan di lapangan terbang, operasi bebas cukai dan penglibatan syarikat penerbangan.

Ditanya sama ada terdapat pihak yang telah menghubungi MAHB untuk membeli kepentingan, Badlisham berkata belum ada yang formal setakat ini.

“Hanya perbualan awal sahaja,” katanya.

“Pintu kami terbuka kepada siapa saja untuk cadangan dan perbincangan,” katanya.

Badlisham berkata MAHB terbuka kepada satu pihak atau konsortium sebagai rakan berpotensi untuk perjanjian perkongsian itu.

Beliau berkata tiada tempoh masa ditetapkan bagi penjualan saham di ISG.

“Kami tidak tergesa-gesa sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Badlisham berkata MAHB akan menyemak semula penyertaan ekuiti berpotensi dalam dua urus niaga luar negara dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata MAHB berminat untuk mengkaji kemungkinan urus niaga luar negara di Timur Tengah, Eropah, Asia Tenggara dan Amerika Selatan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here