MAHB meterai empat perjanjian di pertunjukan udara Farnborough

0
399
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada Selasa menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan empat penggiat utama penerbangan Perancis dan Switzerland di acara Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) di United Kingdom, dalam usaha menempatkan Malaysia sebagai hab global.

Dalam satu kenyataan di sini, pengendali lapangan terbang itu berkata perjanjian tersebut dimeterai dengan pembuat pesawat Perancis Daher, penyedia perkhidmatan penerbangan ExecuJet yang berpejabat di Zurich, syarikat penyelesaian layan diri lapangan terbang IER Group (anak syarikat Bollore Group) dan syarikat penyedia Internet of Things (IoT) Perancis iaitu Sigfox dan rakan kongsinya, pengendali rangkaian IoT Malaysia XPeranti.

Ketua Pegawai Strategi MAHB, Azli Mohamed, yang menghadiri upacara pertukaran dokumen itu, berkata MAHB berteraskan matlamat untuk memberi pengalaman terbaik kepada penumpang sebaik mereka menjejakkan kaki di lapangan terbang kendalian syarikat itu sehinggalah mereka menaiki penerbangan masing-masing.

“Kami sedang memulakan perjalanan transformasi digital 4.0 Lapang Terbang dan kerjasama yang dijalinkan hari ini adalah tepat pada masanya,” katanya.

Menurut Azli, perkongsian dengan IER dan XPeranti/Sigfox akan turut memulakan rangka kerja penciptaan bersama yang membolehkan penumpang menikmati perkhidmatan yang dipertingkatkan secara automatik dan digital.

Malah menerusi sokongan IER, MAHB kini dalam proses penghasilan bersama konsep pemprosesan automasi digital bagi sebuah lapangan terbang antarabangsa di Malaysia yang membabitkan profil unik penumpang dan destinasi dan mungkin membawa kepada pembangunan harta intelektual bersama.

XPeranti yang bakal menjadi pengendali rangkaian perkhidmatan IoT di seluruh negara (menjelang Oktober), akan melaksanakan penyelesaian IoT Sigfox bagi memastikan kecemerlangan operasi MAHB.

Selain itu, Azli berkata, Daher dan ExecuJet akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.

Daher misalnya menumpukan tiga aktiviti utama – pembuatan pesawat, peralatan serta sistem aeronangkasa selain logistik dan perkhidmatan industri.

ExecuJet yang merupakan sebahagian daripada Luxaviation Group pula menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pengurusan untuk pesawat persendirian dan komersial, sewaan, tempah khas, penyelenggaraan, pengurusan serba siap serta operasi di pangkalan tetap.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here