Mahu bertanding ataupun tidak?

0
109
Advertisement



 

PERSATUAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) supaya dapat memberi kata putus mengenai penyertaan mereka di pusingan kedua kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi menjelaskan, mereka perlu berbuat demikian supaya status pasukan itu menjadi jelas sekali gus menyelesaikan segala kerumitan yang melanda.

“Apabila situasi ini berlaku, ia jadi tergantung kerana FAM tidak mendapat jawapan rasmi daripada Pahang sama ada mereka mahu menyertai pertandingan itu ataupun tidak.

“Jika mereka sememangnya tidak berminat, kita boleh berikan slot itu kepada pasukan lain yang layak untuk mengisi kekosongan.

“Pada saya, ia bukanlah perkara yang rumit sampai tidak boleh diselesaikan. Jadi saya merayu supaya PBNP dapat menyegerakan jawapan mereka secara rasmi sama ada mahu bertanding ataupun tidak,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala Malaysia di Damansara Perdana, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu terbabit, Yusoff mengesahkan Pahang perlu mengemukakan rayuan terlebih dulu sekiranya berminat untuk beraksi pada pertandingan terbabit dan menunggu keputusan daripada Lembaga Disiplin FAM.

“Hukuman penggantungan sudah ada, jadi FAM perlu meminta surat rayuan dan Pahang pula perlu menunggu makluman rasmi.

“Kalau Pahang berminat hendak bermain jadi mereka perlu mengemukakan rayuan. Bila ada rayuan barulah Lembaga Disiplin boleh bersidang.

“Tetapi dalam usaha untuk menjernihkan keadaan, kita ada mengadakan beberapa perbincangan secara tidak rasmi untuk mendapatkan kepastian mereka. Apa yang penting di sini adalah FAM mahu Pahang turut serta dalam pertandingan itu,” katanya.

Selaku juara Piala FA, skuad Tok Gajah memperoleh satu slot ke saingan tertinggi benua Asia itu apabila akan beraksi di pusingan kedua kelayakan selepas Malaysia mendapat slot 1+1 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2019 dan 2020.

Namun, pasukan itu tidak dibenarkan memohon lesen AFC selama dua tahun daripada FAM susulan keengganan mereka untuk mewakili negara ke saingan Piala AFC musim ini.

Larangan itu membabitkan permohonan tahun depan dan 2019 sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh itu tidak akan mewakili negara ke ACL bagi musim 2019 dan 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here