Majlis Penasihat Kerajaan jamin tidak akan abai kontraktor Bumiputera

0
602
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan, yang dijangka akan memainkan peranan penting dalam merangka polisi ekonomi dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), memberi jaminan bahawa ia tidak akan mengabaikan kontraktor Bumiputera.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Eksekutif Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd, Datuk Mokhtar Samad, yang bertemu pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, selama kira-kira 20 minit hari ini.

“Saya sendiri mengaku (kontraktor Bumiputera) masih memerlukan tongkat. Kerajaan baharu akan bantu dengan kaedah-kaedah yang lebih baik daripada dulu,” katanya tanpa mendedahkan maklumat terperinci berkenaan apa yang dibincangkan.

“Tun (Daim) dan ahli panelnya memberi jaminan, dia tidak akan tinggalkan kontraktor Bumiputera kerana ianya bukan tentang Bumiputera atau bukan Bumiputera, tetapi tentang bakat dan kebolehan,” katanya.

Beliau berkata, kini terdapat kira-kira 40,000 kontraktor Bumiputera di Malaysia, dengan 22,000 daripadanya kontraktor Kelas F.

“Tun juga adalah pemaju perumahan dan dia juga kontraktor, dia faham masalah kami.

“Jadi kepada semua kontraktor Bumiputera, jangan bimbang dan ragu, kerajaan yang ada sekarang ni akan membantu.

“Tetapi, kontraktor Bumiputera hendaklah bersedia menyahut cabaran ini. Sebarang kemajuan mestilah berasaskan persaingan,” tambahnya.

Caption gambar: Mokhtar berkata, beliau mengakui bahawa golongan kontraktor bumiputera masih memerlukan ‘tongkat’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here