Mak Cun 3, Andainya Takdir rekod lebih 10 juta tontonan

0
34


KUALA LUMPUR: Dua drama rantaian terbitan TV3 iaitu Mak Cun 3 dan Andainya Takdir mencatat rekod lebih 10 juta tontonan ketika ditayangkan sebelum Syawal.

Mengikut statistik dikeluarkan stesen televisyen (TV) itu, musim ketiga drama bersiri Mak Cun meraih 11 juta penonton bagi semua 21 episod. Lebih mengujakan, episod akhirnya yang disiarkan pada 14 Jun lalu, mencapai tiga juta tontonan.

Drama bersiri Andainya Takdir yang ditayangkan di slot Samarinda pula mencatat jumlah tontonan 10 juta hingga episod akhir disiarkan pada 22 Jun lalu.

Kenyataan TV3 menambah, pencapaian drama Mak Cun 3 dan Andainya Takdir yang menampilkan nama-nama hebat dalam dunia lakonan, meletakkan slot Samarinda sebagai penanda aras rating tertinggi slot drama jam 10 malam di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Mak Cun 3, Bade Azmi berkata, drama diterajui Erma Fatima itu mengangkat mesej masyarakat luar bandar mampu berjaya, selain menaikkan nama negeri Kedah.

“Jalan ceritanya sentiasa membuktikan masyarakat luar bandar juga mampu untuk berjaya jika diusahakan dengan saluran yang betul.

“Disebabkan itu, kami kami percaya drama Mak Cun tetap relevan kerana nilai masyarakatnya yang tinggi,” katanya yang berharap peminat terus menyokong drama berkenaan.

Pengarah Drama Andainya Takdir, Along Kamaludin pula bersyukur penonton memberi sokongan padu terhadap drama yang menampilkan lakonan hebat Shukri Yahya, Nina Iskandar dan Puteri Balqis itu.

“Kami bersyukur penonton memberi sokongan padu. Kami percaya kejayaan drama ini adalah kerana nilai murni yang diterapkan.

“Ini bertepatan dengan Ramadan yang menerapkan nilai positif seperti kesabaran, kasih sayang, kekeluargaan dan kehidupan masyarakat majmuk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here