Makam usang dari Zaman Gangsa ditemui kumpulan arkeologi di Xinjiang

0
13

URUMQI: Sekumpulan arkeologi di China telah menemui 112 kubur usang di Wilayah Autonomi Uighur di Xinjiang, dengan tiga daripadanya dipercayai tempat pemakaman paling tua di rantau tersebut, lapor AFP.

Institut Arkeologi Xinjiang pada Selasa mendedahkan, tiga kubur tersebut dipercayai dari awal Zaman Gangsa iaitu kira-kira 4,900 tahun lalu, memetik kata penyelidik institut itu, Ruan Qiurong.

“Penemuan itu menjadi petanda permulaan peradaban Zaman Gangsa di Lembah Sungai Ili di Xinjiang yang wujud sejak lebih 1,000 tahun lalu,” jelas Ruan.

Selain itu, kubur-kubur lain pula ada yang menandakan jangka masa dari tempoh musim bunga dan musim luruh pada tahun 770-476 Sebelum Masehi, hinggalah kepada zaman Dinasti Han (tahun 202 Sebelum Masehi hingga tahun 220 Selepas Masehi).

Ruan berkata, kawasan pemakaman usang tersebut sudah diceroboh kumpulan pencuri.

Antara yang sempat diselamatkan pasukan arkeologi yang mencari gali lokasi itu selama dua bulan, adalah 96 barangan lama termasuk pakaian yang diperbuat daripada gangsa, barangan logam, objek tulang dan pasu seramik.

Kedudukan sisa manusia dalam kuburan tersebut amat menarik perhatian para arkeologi. Ada antaranya yang berbaring dengan kaki yang dilipat, manakala yang lain pula dalam posisi berbaring mengiring dengan kaki dibengkokkan.

Ruan berkata postur tersebut ada kaitan dengan adat pengkebumian pada masa itu.

Pasukan penyelidik itu akan membandingkan penemuan terbaharu itu dengan kawasan makam seumamanya yang ditemui di sepanjang lembangan Sungai Ili yang lebih rendah di Kazakhstan.

Perbandingan itu adalah untuk mengkaji pertukaran budayaantara China dan dunia Barat dalam zaman awal.

Makam tersebut ditemui pekerja binaan Mei lalu sewaktu menjalankan projek membangunkan sebuah lebuh raya di Nilka, Xinjiang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here