Makcik Petir kembali…

0
406
Advertisement



Johor Bahru : Selepas berehat hampir setahun dalam bidang lakonan kerana masalah kesihatan komplikasi diabetes dan jangkitan kuman pada paru-paru, pelakon drama, Noryati Taib atau lebih dikenali sebagai Makcik Petir kembali berlakon dalam drama terbitan Radiusone Sdn Bhd.

Noryati berkata, pengambaran drama 20 episod untuk siaran Media Prima yang bermula sejak Isnin lalu itu dijalankan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau memaklumkan keadaan kesihatannya kembali pulih selepas mendapatkan rawatan susulan, namun terpaksa menggunakan kerusi roda ataupun kaki palsu untuk bergerak.

“Alhamdulillah, saya sudah sihat dan boleh berlakon semula. Berlakon dibawah pengarahan anak saudara, Shahrulezad Mohameddin dan dibantu juga oleh anak saudara yang lain.

“Bukan apa, dengan anak saudara ini senang sebab keadaan saya bukan macam dulu sihat. Sekarang kalau hendak bergerak kena guna kerusi roda ataupun kaki palsu kerana kaki kanan dipotong paras bawah lutut akibat komplikasi diabetes pada September tahun lalu.

“Memang kekok la rasanya sebab hendak buat apa pun terbatas. Sudah lama duduk rumah rasa bosan pula, apabila dapat tawaran berlakon dari anak saudara terus terima,”katanya yang memegang watak sebagai Mak Kuyah dalam drama berkenaan.

Menurut Makcik Petir, dia kehilangan berat badan sehingga 17 kilogram selepas menjalani rawatan.

Beliau bersyukur dikurniakan kembali kesihatan kerana pernah berhadapan dengan situasi kritikal apabila koma selama lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas menjalani pembedahan.

“Alhamdulillah sekarang makin sihat, kalau dulu nak buat apa-apa mesti kena ada anak atau suami yang membantu sebab tak boleh buat sendiri. Sehingga hendak ke bilik air pun terpaksa diangkat.

“Sekarang sudah ada kaki palsu, boleh bergerak sendiri. Sebelum mula berlakon sudah boleh kemas rumah, mop lantai, dan vakum sendiri. Sudah lama duduk rumah pun bosan juga,” katanya ketika dihubungi.

Pada September tahun lalu, Noryati menjalani pembedahan akibat komplikasi diabetes dan dibenarkan keluar hospital namun pelakon itu mengalami sesak nafas sehari kemudian hingga keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI pada 24 September tahun lalu.

Noryati terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama lakonannya seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty, Tari Tirana dan banyak lagi.

Noryati yang mula berlakon dalam drama Abang Mak Panggil Balik kerap berlakon dalam drama terbitan Radiusone Sdn Bhd milik Shahrulezad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here