Maksimumkan pembabitan rakyat dalam pelaksanaan Bajet 2018

0
110
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan pembabitan secara maksimum rakyat dalam setiap intipati pelaksanaan Bajet 2018 yang akan diumumkan 27 Oktober ini.

Exco Pemuda UMNO, Rahman Hussin berkata, pendekatan ‘participatory budgeting’ atau bajet yang terbuka pada cadangan perlu dilaksana secara berterusan bagi membolehkan rakyat memahami keperluan dan memperoleh manfaat secara langsung dari Bajet kerajaan.

“Pendekatan participatory budgeting‘ ketika ini sudah dilakukan di kebanyakan negara maju termasuk di Amerika Syarikat, selain Brazil dan Portugal.

“Ini akan memberikan rakyat peluang untuk terlibat secara terus di dalam bukan sahaja idea tetapi juga perlaksanaan bajet tersebut,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Bajet 2018 merangkumi aspirasi TN50 – PM Najib

BACA: Bajet 2018 inklusif, tingkat pendapatan dan keperluan rakyat

Rahman turut memuji inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengajak rakyat berkongsi pandangan dan cadangan mengenai Bajet 2018.

Najib sebelum ini membuka satu ruangan menerusi web https://bajet2018.najibrazak.com yang mengajak rakyat berkongsi cadangan mengenai Bajet 2018.

Sebanyak 13,837 cadangan rakyat diperoleh dan diteliti Najib.

Rahman turut berkata, pendekatan itu juga secara langsung akan menjadikan rakyat lebih memahami mengenai satu-satu keputusan penting yang dibuat kerajaan seperti peruntukan besar disalur kepada sebuah kementerian dan agensi.

Dalam pada itu, Rahman turut berharap bajet kali ini memberi ruang dan kelebihan kepada ibu bapa yang bekerja untuk melakukan kerja sambilan di rumah.

“Ia membawa objektif meningkatkan keseimbangan dan menambah baik kualiti hidup golongan bekerja. 

“Ia boleh dilaksana menerusi kewujudan insentif untuk syarikat swasta supaya memberikan skim ‘bekerja dari rumah’ sekurang-kurangnya sekali seminggu mengikut keperluan tugasan mereka,” ujarnya.

Rahman turut berharap supaya lebih banyak program atau inisiatif untuk membantu menangani inflasi dan kenaikan kos sara hidup diperkenal samada dari segi kad diskaun atau peluang perniagaan serta pembelajaran kemahiran.

“Semua ini dapat membantu menambahkan pendapatan rakyat.

“Bajet kali ini juga harus memberikan lebih banyak insentif kepada pengguna yang menggunakan tenaga boleh ubah atau renewable energy.

“Ia bagi menggalakkan lebih banyak penggunaan teknologi hijau dan membantu ke arah mencapai target defisit karbon kerajaan,” katanya.

Najib sebelum ini berkata, Bajet 2018 yang bakal dibentangkan akan merangkumi aspirasi rakyat yang disampaikan menerusi siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau berkata kerajaan tidak akan menunggu sehingga 2050 untuk melaksanakan input-input yang disuarakan menerusi siri dialog TN50, tetapi berusaha merealisasikannya secara berperingkat.

Ikuti liputan Bajet 2018 di AstroAwani.com DI SINI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here