Malaysia Airlines jangka catat prestasi lebih baik tahun ini

0
64
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menjangkakan dapat mencatat prestasi kewangan lebih baik pada penghujung tahun ini selain terus berusaha  gigih untuk mengekalkan pertumbuhannya pada 2019.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG), Izham Ismail berkata syarikat penerbangan nasional itu turut bersiap sedia bagi mengharungi tahun mendatang yang mencabar dari segi persaingan dan kadar tukaran asing yang tidak menentu.

Kenaikan harga minyak turut menjadi tumpuan kerana meningkat hampir 100 peratus berbanding awal 2016, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi kemajuan masa depan, kami akan terus berusaha menjana pulangan dengan memberi tumpuan terhadap segmen premium bagi menampung kesan kenaikan kos,” katanya.

Syarikat penerbangan itu dimiliki dan diuruskan oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) sejak September 2015.

MAB merekodkan peningkatan hasil daripada penumpang sebanyak 6.6 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2018 (Q12018) kepada 22.6 sen berbanding 21.2 sen pada suku pertama 2017.

Pencapaian itu dapat dicatatkan biarpun berdepan persaingan sengit di peringkat antarabangsa mahu pun domestik.

Selain itu, perolehan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (RASK) turut mencatat pertumbuhan sihat sebanyak 3.5 peratus bagi tahun ke tahun manakala jumlah perolehan juga berkembang sebanyak 2.0 peratus bagi tahun ke tahun.

“Prestasi kita pada suku pertama adalah seiring dengan sasaran ditetapkan manakala tumpuan terhadap pulangan yang bermula pada separuh kedua tahun sebelumnya, terus membuahkan hasil dengan peningkatan keseluruhan dari segi pulangan dan RASK.

“Saya amat gembira dengan perkembangan yang menggalakkan pada suku pertama 2018, terutamanya selepas tahun kewangan 2017 yang mencabar dan menyaksikan prestasi syarikat tidak seiring dengan bajet,” katanya.

Beliau juga berkata, prestasi tahun lepas terjejas oleh perubahan kadar pertukaran yang menyaksikan penyusutan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar US (USD).

“Memandangkan  lebih 50 peratus daripada struktur kos kami dalam USD, susut nilai itu memberi impak besar kepada prestasi kewangan keseluruhan syarikat.

“Bagaimanapun, berdasarkan agregat, syarikat itu telah membuat kemajuan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Malaysia Airlines (MRP). Ini termasuk asas kos yang lebih baik untuk syarikat penerbangan itu, membawanya selaras dengan syarikat penerbangan lain,” katanya.

Suku tersebut menyaksikan Malaysia Airlines menggantikan operasi pesawat A380 dengan A350-900 bagi laluan London.

Kumpulan pesawat Malaysia Airlines juga telah mengalami transformasi sejak permulaan MRP, sejajar dengan tumpuan utama syarikat penerbangan itu di Asia Pasifik.

Walaupun B737-800s terus menyediakan kesambungan domestik dan serantau, teknologi badan lebar kini telah diperkemas dan disandarkan kepada model A350-900 dan A330 yang lebih mudah, sesuai dengan operasi berjadual.

A380 akan digunakan untuk urusan haji dan umrah dan diguna semasa tempoh permintaan puncak dan tinggi.

Sebanyak 43 inisiatif bahan bakar, dengan penjimatan sasaran ditetapkan pada RM220 juta, telah dicatat pada suku ini dan akan diteruskan untuk 2018.

Dalam persekitaran peningkatan harga minyak ketika ini, MAB berkata, ia akan memanfaatkan teknologi dan digitisasi untuk mengurangkan kesan kemeruapan itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here