Malaysia Airlines perkenal lebih banyak pesawat badan besar

0
37

PETALING JAYA: Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan mengimbangi semula jumlah kumpulan pesawatnya dengan memperkenalkan lebih banyak pesawat badan besar dalam tempoh lima tahun akan datang, yang berpotensi membawa hasil tinggi dan mengurangkan kos operasi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter Bellew berkata usaha ini akan memberikan penjimatan kos sebanyak lima hingga 20 peratus kepada syarikat penerbangan nasional itu dan juga keanjalan operasi bagi laluan jarak jauh pada masa depan.

Beliau berkata ketika ini MAB memiliki terlalu banyak pesawat badan kecil dan tidak cukup pesawat badan besar bagi laluan yang sesuai untuk strategi pada masa hadapan.

“Kami akan terus menyesuaikan diri ketika pasaran semakin bertambah baik dan apabila peluang timbul. (Kami) akan melihat bagaimana keadaannya nanti.

“Kami mahu mengimbangkan bagi tempoh lima tahun akan datang hampir kepada 50-50 peratus dan itulah yang biasa dilakukan oleh syarikat penerbangan nasional dengan perkhidmatan premium.

“Secara realistiknya kami akan mengimbangkan semula dengan segera dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya pada taklimat media mengenai kemajuan rancangan penyusunan semula MAB, di sini, pada Rabu.

Di bawah pelan Fleet Strategy 2017-2022, Bellew berkata syarikat penerbangan itu merancang mengurangkan jumlah kumpulan pesawat badan kecil kepada 45 menjelang 2022 daripada 48 sekarang, manakala pesawat badan besar kepada 35 daripada 21 pesawat.

Dari segi peratusan, jumlah kumpulan pesawat MAB akan terdiri daripada 56 peratus pesawat badan kecil dan 44 peratus pesawat badan besar daripada nisbah 70:30 pada masa ini.

Enam pesawat badan besar A330-220 yang baru dibaikpulih, akan dipajak daripada syarikat pajakan pesawat AerCap Holdings NV, yang dijangka tiba mulai Februari 2018.

“Nilai terbaik adalah, apabila anda membeli terus daripada pengeluar, anda akan mendapat semua faedah — urus niaga, latihan, jaminan dan lain-lain (asas kos rendah dan keselesaan penumpang berkualiti tinggi),” katanya, sambil menambah pesawat yang dipajak itu akan menggantikan pesawat badan kecil Boeing 737-800 yang ketika ini digunakan bagi laluan Mumbai, Delhi, Bali dan Perth.

Langkah ini akan menambah baik produk dengan kos yang kurang berbanding mengendalikan B737, katanya.

Bellew berkata MAB akan menggunakan enam pesawat Airbus 380 bagi jemaah haji dan umrah, serta operasi sewaan, dan sebuah syarikat penerbangan baharu akan diwujudkan tidak lama lagi untuk menjalankan perkhidmatan itu.

Ini berada di bawah inisiatif MAB sebelum ini di bawah pelan penstrukturan semulanya dikenali sebagai Project Amal (sebelum ini dikenali sebagai Hope) dan projek tersebut sedang berjalan lancar yang dijangka memulakan operasi pada 2019.

Bellew berkata MAB kini dalam usaha menghentikan secara berperingkat enam daripada pesawat B738 yang akan digantikan selepas serahan pesawat A330 Neo dan B787-9 Dreamliner yang baharu.

Mengenai tempahan B787-9 Dreamliners, beliau berkata, ia akan memberi manfaat kepada syarikat penerbangan itu memandangkan pesawat tersebut akan mengurangkan kos operasi dari segi kecekapan bahan api dan penyenggaraan.

Beliau berkata, cadangan pembelian itu berpotensi membawa perolehan lebih tinggi kepada MAB pada masa depan dengan lebih banyak kekerapan penerbangan dan keanjalan kargo.

Selain itu, Bellew berkata, kumpulan pesawat baharu itu berupaya menyokong operasi penerbanganjarak sederhana dan jauh MAB dari Kuala Lumpur ke destinasi Eropah, serta laluan jarak jauh berpotensi lain pada masa depan.

“Kos B787-9 bagi tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang tidak banyak berbeza daripada kos A330. Bagaimanapun, pesawat tersebut memberi peluang fleksibel, sama ada kami mahu memasuki semula pasaran (jarak jauh) itu (setelah MAB menamatkan penerbangan bagi laluan jarak jauh yang kurang beruntung seperti Amsterdam dan Frankfurt),” katanya.

Mengenai bagaimana MAB membiayai strategi kumpulan pesawatnya, Bellew berkata tiada tambahan kos, malah ia akan mengurangkan keseluruhan kos.

“Pajakan itu adalah bayaran sewa pelbagai. Pembiayaan kami tidak akan membawa perbezaan bagi masa depan kami berbanding apa yang ada pada hari ini, memandangkan kos pajakan pesawatadalah lebih rendah, atau menjadi lebih rendah berbanding kos pajakan sedia ada.

“Jadi, ia adalah usaha kami dalam menyediakan setiap tempat duduk penumpang, (yang pada akhirnya) kos pajakan akan menjadi lebih rendah pada tahun-tahun akan datang berbanding sebelumnya,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here