Malaysia Airlines tawar semula penerbangan terus ke Brisbane mulai Jun

0
173
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan menawarkan semula penerbangan terus bagi laluan Kuala Lumpur-Brisbane, Australia berkuat kuasa 6 Jun, 2018.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata perkhidmatan dengan kekerapan empat kali seminggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu tersebut akan menggunakan pesawat A330-3000 selain menawarkan sehingga 290 tempat duduk.

MAS berkata, MH134 akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 9.50 pagi dan tiba di Brisbane pada 7.55 malam hari yang sama, manakala penerbangan balik, MH134 akan berlepas dari Brisbane pada 11.20 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 5.50 pagi keesokan harinya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail berkata, Malaysia Airlines perlu memberi maklum balas secara pantas kepada permintaan pasaran menerusi pembukaan semula laluan ke Brisbane memandangkan lokasinya yang strategik, selain berhampiran dengan banyak destinasi menarik Queensland.

“Langkah ini akan melancarkan pelan pertumbuhan kami, dengan menumpukan perniagaan utama dan bandar-bandar pelancongan.

“Malaysia Airlines telah mempunyai operasi sekian lama di Queensland sejak pemulaan operasi kami ke Brisbane pada 31 Okt, 1990. Kami gembira untuk kembali ke Brisbane, menawarkan hubungan yang sesuai kepada rangkaian global Malaysia Airlines,” katanya.

Sementara itu, Menteri Inovasi, Pembangunan Industri Pelancongan dan Sukan Komanwel Queensland, Kate Jones menyifatkan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan global terkemuka, manakala Kuala Lumpur merupakan hab antarabangsa yang berkembang maju.

“Ini bermakna pintu masuk baharu dibuka kepada beribu-ribu pengembara untuk tiba di Queensland dan menyaksikan ‘Great Barrier Reef’, hutan hujan kami yang diiktiraf sebagai warisan dunia, pantai dan kawasan pedalaman kami yang menarik,” katanya.

Operasi Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan Australia meliputi Sydney (dua kali sehari), Melbourne (dua kali sehari), Perth (setiap hari) dan Adelaide (empat kali seminggu).

Tiket ke Brisbane akan dijual mulai 9 Jan, 2018 di laman web Malaysia Airlines www.malaysiaairlines.com.

Sempena pembukaan semula laluan itu, Malaysia Airlines akan memulakan Kempen Tahun Baru bermula hari ini dengan promosi tambang pergi-balik termasuk semua bagi kelas ekonomi ke Brisbane serendah RM2,009, Seoul mulai RM1,259, Tokyo daripada RM1,419, Auckland serendah RM2,239 dan destinasi lain.

Tiket itu bagi tempoh perjalanan dari 16 Jan, 2018 hingga 31, Mei 2018, kecuali destinasi Brisbane iaitu mulai 6 Jun, 2018 hingga 31 Okt, 2018.

Promosi itu akan berakhir 14 Januari ini. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here