Malaysia Airports beri kerjasama penuh sistem prapelepasan jemaah haji

0
464
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports sedia memberi sepenuh kerjasama dan sokongan dalam pelaksanaan sistem prapelepasan jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diumumkan Jabatan Imigresen Malaysia semalam.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif bagi pengurusan yang akan memanfaatkan 36,480 jemaah haji tahun ini, terutama bagi jemaah kali pertama.

“Kami amat menyambut baik pelaksanaan sistem pengurusan yang sistematik dan pantas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengakui musim haji merupakan antara musim tersibuk di lapangan terbang, beliau berkata pengurusan penumpang juga perlu diutamakan selain pengurusan kemudahan di lapangan terbang.

“Sebagai pengendali lapangan terbang, kami turut berasa gembira kerana Malaysia terpilih sebagai negara pertama dunia yang akan menggunakan sistem itu,” katanya.

Inisiatif itu membolehkan KLIA dilihat sebagai hab serantau yang memberi pengalaman baharu yang memudahkan urusan, selesa dan menjimatkan masa terutama kepada jemaah haji yang berumur, katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata melalui inisiatif itu, pengambilan cap jari serta semakan data jemaah haji Malaysia akan dilaksanakan di KLIA dan data berkenaan akan disalurkan ke pangkalan sistem haji Arab Saudi.

Malaysia adalah negara pertama di dunia terpilih sebagai perintis program ini dan perbincangan mengenai inisiatif itu dipengerusikan oleh Mustafar dan Jawatankuasa Agung Haji Arab Saudi, Mejar Jeneral Mubarak Almuwina di Putrajaya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here