Malaysia bersedia jadi koridor ekonomi ASEAN, China – Pakar ekonomi

0
41

KUALA LUMPUR: Malaysia yang mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan kedudukan geografi yang strategik, dijangka menjadi koridor ekonomi yang penting bagi ASEAN dan China dalam tempoh lima tahun akan datang, kata pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi IQI Group Holdings, Shan Saeed berkata, ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan walaupun berhadapan dengan cabaran ekonomi global, membantu meningkatkan keyakinan pelabur asing di negara ini.

“Dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang positif, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang sangat mantap, dan terus menarik pelaburan asing, terutamanya dari China.

“Kita sedia maklum bahawa pelabur asing hanya melabur di negara-negara yang mempunyai ekonomi yang pesat berkembang, demografi yang kukuh dan penduduk yang produktif,” katanya kepada Bernama selepas Sidang Kemuncak Ekonomi Kebangsaan Ketiga Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) semalam.

Pada bulan lepas, Bank Dunia telah menyemak semula pertumbuhan KDNK Malaysia 2017 kepada 4.9 peratus daripada sasaran awal sebanyak 4.3 peratus.

Shan berkata pendekatan diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terutamanya dengan China dan Arab Saudi, telah meningkatkan status negara di mata dunia.

“Pelaburan dari kedua-dua negara tersebut membawa impak yang besar di peringkat global. Pelaburan sebanyak AS$175 bilion (AS$1 = RM4.27), (AS$144 bilion dari China, AS$31 bilion dari Arab Saudi) baik untuk ekonomi negara,” katanya.

Menurut Shan, dengan kelebihan geografi Malaysia, dari segi sejarah, melalui Selat Melaka, 80 peratus daripada dagangan China telah melalui negara ini.

“Lokasi Malaysia akan terus dilihat sangat penting oleh pelabur asing, terutamanya dari China, dengan pelaburan besar yang diperuntukkan untuk pembangunan berdasarkan kelebihan geografi tersebut.

“Oleh itu, saya melihat China akan mempunyai hubungan kerjasama yang kuat dengan Malaysia dan sekutunya untuk mendapatkan kelebihan ekonomi,” katanya.

Shan berkata, kebimbangan berkenaan pelaburan China yang tidak akan mewujudkan kesan limpahan kepada perniagaan tempatan boleh ditangani dengan strategi penglibatan berterusan antara kerajaan Malaysia, perniagaan China dan rakan kongsi mereka di negara ini.

“Bagaimanapun, pelabur-pelabur ini bukan sahaja membawa masuk teknologi dan sumber manusia, tetapi juga pelaburan mereka.

“Semua pelabur melihat kepada dua perkara ini iaitu pemindahan teknologi dan pelaburan,” katanya.

Mengenai masa hadapan, Shan yakin KDNK Malaysia akan mencecah lebih AS$1 trilion menjelang 2030 daripada AS$335 bilion sekarang ini, dengan memetik unjuran oleh firma perakaunan terkemuka, PricewaterhouseCoopers pada 2016.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here