Malaysia boleh minta China pengaruhi Korea Utara

0
54

TIDAK sampai seminggu Korea Utara melancarkan peluru berpandu melintasi negara Jepun pada minggu lalu, kini Korea Utara dilaporkan telah menjalankan ujian bom hidrogen buat pertama kalinya di negaranya.

Bom hidrogen terbabit dikatakan mempunyai ledakan yang berpuluh-puluh kali lebih kuat berbanding bom atom yang pernah diletupkan oleh Korea Utara sebelum ini.

Gegaran seismik sekuat 6.3 magnitud telah berjaya dikesan oleh pihak Amerika Syarikat yang mempercayai ia dihasilkan melalui satu ujian bom di dalam negara komunis berkenaan.

Minggu lalu, seluruh dunia telah dikejutkan dengan pelancaran perluru berpandu dari Korea Utara. Bezanya pada kali ini, peluru berpandu berkenaan telah melintas negara jiran mereka iaitu Jepun.

Tindakan Korea Utara berkenaan telah mengundang rasa marah kerajaan Jepun. Kali terakhir Korea Utara melancarkan peluru berpandu melintasi ruang udaranya adalah hampir 20 tahun yang lalu.

Korea Utara juga telah mengugut Amerika Syarikat untuk menyerang pangkalan tenteranya di kepulauan Guam di Lautan Pasifik. Pada bulan yang lalu, pihak Majlis Keselamatan, PBB telah mengundi sebulat suara menyokong resolusi yang digubal Amerika Syarikat untuk mengetatkan sekatan sedia ada terhadap Korea Utara.

Namun, umum harus ketahui sekatan terbaru terbabit tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya Negara Tembok Besar iaitu China yang merupakan negara jiran dan sahabat kepada Korea Utara sendiri tidak memainkan peranan aktifnya bagi memberi tekanan serta mengunakan pengaruhnya terhadap Korea Utara untuk menghentikan segala tindakan provokasinya terhadap Amerika Syarikat serta negara-negara jirannya iaitu Korea Selatan dan Jepun.

Semenjak Korea Utara dipimpin oleh Kim Jong Un, sudah banyak tindakan provokasi diambil olehnya khususnya yang membabitkan kuasa kententeraan seperti pelancaran beberapa peluru berpandu dan serta perjalanan ujian bom atom.

Malaysia juga tidak terlepas dari kesan provokasi yang dibuat oleh pemimpin Korea Utara ini dimana pada awal tahun yang lalu abang tiri kepada pemimpin Korea Utara itu, iaitu Kim Jong Nam, telah disyaki dibunuh ketika ingin menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Mangsa telah disyaki dibunuh kejam dengan mengunakan bahan senjata kimia terlarang. Buat sekian lama, Korea Utara amat bergantung dengan negara China.

Korea Utara juga amat bergantung harap terhadap bantuan makanan dan tenaga dari negara China selama ini.

Oleh itu, China boleh memainkan peranan yang aktif dalam membantu meredakan keadaan yang dilihat semakin panas ketika ini.

China perlu memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan Korea Utara menghentikan segala bentuk tindakan provokasinya dan kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan segala jenis konflik yang berlaku.

Negara-negara jiran dengan Korea Utara seperti Korea Selatan dan Jepun serta negara Amerika Syarikat sendiri akan hadapi kesukaran untuk meminta bantuan China bagi mempengaruhi Korea Utara kerana negara-negara ini tidak mempunyai hubungan yang baik dengan negara China serta mempunyai banyak isu tertangguh dengan negara China.

Malaysia yang mempunyai hubungan erat dengan negara China boleh memainkan peranannya. Malaysia boleh mengunakan pengaruh serta hubungan baiknya dengan negara China untuk meminta China menggunakan pengaruhnya terhadap Korea Utara bagi hentikan tindakan provokasinya dan kembali ke meja rundingan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga boleh mengunakan peluang dalam proses lawatannya ke Rumah Putih tidak beberapa lama lagi bagi meminta Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump mengambil langkah yang lebih matang dan bijak serta tidak mengikut emosi.

Semua itu bagi menyelesaikan masalah negara mereka dengan Korea Utara serta memastikan konflik yang sedang berlaku tidak merebak ke serata dunia.


* Artikel ini adalah daripada Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow.

** Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili sidang editorial Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here