Malaysia dijangka capai sasaran defisit fiskal 3 peratus – Irwan Serigar

0
30

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka mencapai unjuran defisit fiskalnya sebanyak 3.0 peratus pada tahun ini, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Menafikan laporan media yang menyatakan defisit fiskal negara meningkat kepada RM30.5 bilion untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini dan menganggap laporan itu sebagai ‘dakwaan tidak berasas’, katanya Kementerian Kewangan mempunyai jadual tahunan untuk mengira defisit apabila tahun berakhir pada Disember.

“Sebenarnya, anggaran defisit masih kekal. Pada tahun lepas, ia adalah 3.1 peratus dan pada tahun ini 3.0 peratus. Ini kerana ia berdasarkan kepada pengiraan satu tahun…perolehan dianggarkan pada Disember, hanya selepas itu kita boleh mengira defisit untuk keseluruhan tahun.

“Sebahagian bulan, sebahagian perolehan akan susut sedikit dan sebagainya. Kita tidak boleh menggunakannya sebagai defisit fiskal untuk keseluruhan tahun. Kami mengiranya secara tahunan. Jika sasaran adalah 3.0 peratus, ia kekal,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohd Irwan Serigar mengulas mengenai laporan berita yang memetik Citi Research bahawa defisit fiskal negara meningkat kepada RM30.5 bilion berbanding RM26 bilion pada tempoh sama sebelum ini.

Beliau juga berkata sasaran defisit fiskal kekal pada landasan susulan pembayaran berjadual seperti dividen Petronas diterima pada suku kedua.

“Kami memasuki pasaran untuk mengumpul bon kerajaan. Kadangkala perolehan turun, tetapi pada bulan tertentu, defisit lebih kecil berbanding secara keseluruhan tetapi kita kekal pada purata 3.0 peratus.

“Ini tidak perlu bimbang. Eksport kita meningkat 32.5 peratus pada Mei. Inflasi merosot kepada 3.9 peratus berbanding 4.4 peratus pada April. Rizab antarabangsa Bank Negara mengukuh lagi. Oleh itu, ekonomi kita kelihatan baik dan kita akan mempunyai bajet yang baik pada tahun ini,” katanya.

“Sudah tentu, laporan tersebut tidak benar. Kita perlu melihat kepada keseluruhan tahun. Kemudian, kita akan menunjukkan angkanya. Malah, Lembaga Hasil Dalam Negeri telah mengutip RM55 bilion dan saya memantaunya setiap hari. Kerajaan juga mempunyai perolehan lain, seperti kita menjual Bakun, dan kita mendapat pendapatan. Kita juga menjual tanah. Oleh itu, perolehan masih kukuh.

“Malah, kita mempunyai lebih banyak perolehan sekarang, dan itu sebabnya saya mengatakan Bajet 2018 akan baik untuk negara,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here