Malaysia, Qatar minat perluas kerjasama beberapa bidang

0
316
Advertisement

PUTRAJAYA: Pendidikan, pertanian, keselamatan makanan, wanita dan farmasi adalah antara beberapa bidang kerjasama yang Malaysia dan Qatar berminat untuk perluaskan lagi.

Ini dibincangkan semasa kunjungan hormat Duta Besar Qatar ke Malaysia Essa Mohamed Al Mannai ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya di sini pada Isnin ( 4 Jun).

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini oleh pejabat Timbalan Perdana Menteri berikutan kunjungan itu, Essa Mohamed mengundang Dr Wan Azizah untuk melawat Qatar dan membincangkan bidang kerjasama yang boleh dilaksanakan.

Kenyataan itu menyebut Essa Mohamed memberitahu Wan Azizah bahawa Qatar akan mengadakan hubungan perkapalan langsung ke China, dengan dua hub transit, di Malaysia dan Pakistan.

“Banyak boleh kita lakukan bersama, termasuk pelancongan perubatan,” Essa Mohamed disebut sebagai berkata dalam kenyataan itu, dan menambah sistem kejururawatan Malaysia adalah sesuatu yang boleh diikuti oleh Qatar.

Essa Mohamed juga berkata makanan dan perubatan adalah bidang yang kedua-dua negara boleh bekerjasama memandangkan Qatar mengimport 95 peratus daripada keperluannya itu.

Duta itu turut memuji peralihan kuasa yang lancar semasa Pilihan Raya Umum ke-14 di Malaysia yang menyaksikan pertukaran kerajaan buat pertama kalinya dalam tempoh 61 tahun.

Essa Mohamed juga menyatakan kerajaan Qatar telah mengikrarkan AS$50 juta (RM198.9 juta) bagi membantu masyarakat Rohingya di Malaysia.

Sambil menyatakan bahawa hal itu boleh ditinjau seterusnya, Dr Wan Azizah berkata : “Kami didatangi kumpulan besar rakyat Rohingya. Kami perlu mengadakan program yang dirangka dengan baik untuk mendepani masalah ini”.

Essa Mohamed turut menyatakan kerajaan Qatar sedang membina sebuah kota raya baharu dikenali sebagai Lusail, yang menyerupai Putrajaya, dan menyatakan dua syarikat Malaysia terlibat dalam projek itu.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat pada kadar 21.5 peratus dari AS$566 juta (RM2.25 bilion) pada 2016 kepada AS$670 juta (RM2.66 bilion) pada 2017.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here